Dua tahun selepas dikecam hebat kerana jenaka berkaitan tragedi MH370, pelawak kelahiran Singapura, Jocelyn Chia, kini menganggap kontroversi itu sebagai titik perubahan besar dalam hidupnya.
Jenaka MH370 cetus kontroversi global
Digelar ‘bad girl dalam dunia komedi’ oleh Fox News, nama Chia meniti di bibir media antarabangsa seperti The New York Times, CNN dan BBC selepas klip persembahan komedirinya yang mengandungi jenaka tentang tragedi MH370 tular di media sosial pada Jun 2023, sekali gus mencetuskan kemarahan ramai di seluruh dunia.
Klip berdurasi 89 saat itu dirakam di Comedy Cellar, sebuah kelab komedi terkenal di New York dan dimuat naik ke TikTok serta Instagram. Dalam persembahan itu, Chia menyentuh isu kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370 pada 2014, jenaka yang disifatkan ramai sebagai tidak sensitif.
Namun menurut Chia, jenaka itu bukanlah baharu dan ia sudah menjadi sebahagian daripada bahan jenakanya sejak lebih setahun lalu.
“Ia sebahagian daripada rutin tentang persaingan antara Singapura dan Malaysia yang saya gunakan lebih setahun,” katanya memetik laporan The Straits Times.
Bekas peguam berusia dalam lingkungan 40-an itu dibesarkan di Singapura dan kini menetap di New York. Chia dikenali dengan gaya persembahan lantang, penuh tenaga dan sering menyentuh topik peribadi serta perbandingan budaya antara Asia dan Barat.
Dikecam hebat, hilang kerja tetapi tetap enggan mohon maaf
Kontroversi itu membawa kesan besar kepada Chia. Dia menerima kecaman dan mesej kebencian dalam talian, laman web Comedy Cellar digodam dan terdapat desakan yang menuntut dia membuat permohonan maaf secara terbuka. Malah, kerajaan Malaysia turut mempertimbangkan untuk mengeluarkan notis merah Interpol terhadapnya.
Menteri Luar Singapura, Vivian Balakrishnan, turut mengulas isu tersebut dengan menyifatkan jenaka itu sebagai ‘sangat tidak wajar’ dan menegaskan bahawa Chia tidak mewakili rakyat Singapura.
Selain itu, kontrak Chia sebagai hos siaran untuk syarikat teknologi IBM turut ditamatkan selepas menerima aduan daripada pejabat syarikat itu di Malaysia. Persembahan Chia yang dijadualkan di sebuah kelab komedi lain di New York juga dibatalkan.
Namun, Chia tetap dengan pendiriannya dan tidak akan memohon maaf.
“Saya tidak berniat untuk menyinggung sesiapa. Saya hanya menjalankan tugas saya. Semuanya bergantung kepada konteks, niat dan cara penyampaian,” tegasnya.
Walaupun tidak menyesal, Chia mengakui mungkin lebih baik jika dia tampil lebih awal untuk menjelaskan maksud jenaka itu serta memperkenalkan gaya komedi New York yang tegas, berani dan tanpa tapisan kepada penonton di Asia Tenggara. Sebaliknya, beliau memilih untuk berdiam diri dan menjaga kesihatan mental. Malah, Chia juga mengelak daripada membaca sebarang komen di media sosial pada waktu itu.
Chia mengambil inspirasi daripada pakar motivasi Tony Robbins dan menjadikan kata-kata, “Perkara ini berlaku untuk saya, bukan kepada saya,” sebagai pegangan hidup sepanjang tempoh sukar itu.
Walaupun dikritik oleh beberapa pelawak dari Singapura dan Malaysia, Chia meraih penghargaan daripada komuniti komedi di Amerika Syarikat.
Bangkit semula, luaskan kerjaya di Eropah
Selepas itu, Chia dijemput sebagai panel dalam segmen komedi di Fox News dan muncul dalam pelbagai rancangan radio serta podcast. Dia juga menerima tawaran residensi enam minggu di Jepun pada 2024 dan kini sedang dalam jelajah Asia dengan persembahan di Hong Kong, Indonesia, Vietnam, Thailand dan Taiwan.
Tidak terhenti setakat itu, Chia akan berpindah ke Barcelona pada September ini untuk meluaskan kerjaya komedinya ke peringkat Eropah. Beberapa persembahan di Switzerland, Poland, Jerman dan Belgium telah pun dijadualkan.
Dan walaupun insiden MH370 memberi kesan besar kepada kehidupannya, Chia memilih untuk melihatnya dari sudut yang positif.
“Ia sesuatu yang ironik, tetapi saya bersyukur kepada Malaysia. Insiden ini telah mengubah hidup saya menjadi lebih baik,” katanya.








