Siti Jamumall diceraikan talak dua ketika live disaksikan 20,000 penonton | The Reporter

Siti Jamumall diceraikan talak dua ketika live disaksikan 20,000 penonton

Siti Jamumall kelihatan sebak ketika live di TikTok, suami di belakang sedang marah
Detik sebelum Aiman melafazkan cerai talak dua terhadap Siti Jamumall dalam siaran langsung TikTok

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pasangan pempengaruh media sosial, Siti Jamumall dan suaminya yang dikenali sebagai Aiman Tak Kisah kembali menjadi perhatian selepas perkahwinan mereka sekali lagi berakhir. Kali ini insiden itu berlaku secara terbuka di hadapan ribuan penonton siaran langsung TikTok.

Insiden yang berlaku pada awal pagi Khamis itu menyaksikan Aiman melafazkan cerai talak dua terhadap Siti ketika wanita berusia 26 tahun itu sedang melakukan jualan secara live. Lafaz itu disampaikan secara terus dengan kata-kata:

“Siti Suriani binti Wahiddin, aku ceraikan kau dengan talak dua. See you in court.”

https://www.tiktok.com/@misseyrine/video/7504483700193774866

Difahamkan, sebelum lafaz tersebut dibuat, pasangan ini sempat bertengkar secara terbuka di hadapan lebih 20,000 penonton. Dalam keadaan sebak dan tertekan, Siti beberapa kali dilihat menangis dan meminta Aiman keluar dari bilik agar dia boleh meneruskan sesi jualan.

Isu lama berlarutan

Konflik rumah tangga mereka bukan bermula pada malam kejadian, tetapi dipercayai berpunca daripada pelbagai isu terdahulu yang belum selesai.

Menurut laporan Malaysia Dateline, Siti pernah meluahkan rasa kecewa kerana suaminya jarang pulang ke rumah dan menganggap kediaman mereka seperti hotel.

https://www.tiktok.com/@ciksri89/video/7504362713309515026

Sebaliknya, Aiman mendakwa dirinya sering dituduh curang setiap kali keluar rumah. Dalam pergelutan emosi tersebut, dia turut menyebut bahawa telefon bimbitnya telah pecah kerana pergaduhan dan mengakui pernah memukul isterinya yang kemudian membuat laporan polis terhadapnya.

“Awak cakap saya curang. Setiap kali saya keluar malam sahaja, awak tuduh saya curang. Saya nak kena buat apa lagi? Telefon saya sudah pecah. Baiklah. Ya, aku pukul kau, biar mahkamah uruskan. Kau kan sudah hantar aku ke balai polis.”

Kemuncak pertengkaran

Pertengkaran menjadi lebih tegang apabila Siti yang sedang hamil lima bulan menyuarakan kerisauan terhadap kelakuan Aiman yang dilihat tidak stabil dan mengandaikan suaminya mungkin bertindak sedemikian akibat pengaruh dadah. Walaupun ia hanya satu andaian spontan, kenyataan itu dipercayai menjadi pencetus utama kepada tindakan Aiman melafazkan cerai.

Aiman turut meluahkan rasa tertekan yang dipendam dalam perkahwinan mereka, menyentuh tentang rasa terkongkong, konflik dengan ahli keluarga mentua dan tekanan mental yang dialaminya.

“Selama ini aku terkongkong. Bukan sahaja kena adil dengan kau, tetapi kena adil dengan abang kau juga. Aku orang kampung, sanggup dipijak. Tetapi sekarang aku tak boleh diam.”

Situasi getir itu berakhir dengan Siti kelihatan menggigil dan tidak mampu menahan sebak. Dia kemudiannya ditenangkan oleh dua individu lain yang turut berada bersamanya dalam siaran langsung tersebut.

Penceraian ini merupakan kali kedua dalam tempoh sebulan buat pasangan itu, selepas mereka sempat kembali rujuk sebelum ini. Ketika insiden berlaku, Siti sedang menanti kelahiran anak hasil perkahwinan mereka.

Related Posts