Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh, tampil menggesa agar satu undang-undang khusus digubal bagi menangani insiden yang melibatkan penghinaan atau kesilapan berkaitan simbol negara.
Hal ini berikutan insiden terbaru berhubung kesilapan pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 anjuran PAS Terengganu yang memaparkan bintang Jalur Gemilang dengan bilangan bucu serta jalur merah dan putih yang tidak lengkap
Dalam satu hantaran tegas di Facebook, Dr Akmal menyifatkan tindakan memohon maaf semata-mata tidak sepatutnya menjadi norma dalam menangani isu serius sebegini.
“Sebab itu kita minta ahli parlimen kita gubal satu undang-undang mengenai perkara ini, agar ada satu tindakan undang-undang yang lebih keras boleh digunakan. Jangan normalisasikan selesai dengan minta maaf sahaja,” tulis beliau.
Insiden yang tular itu mengundang reaksi pelbagai pihak, dan Dr Akmal turut menyatakan bahawa tindakan tegas perlu diambil secara konsisten terhadap semua pihak yang melakukan kesilapan, sama ada media, penjawat awam mahupun individu biasa.
“Jika kita minta tindakan yang tegas diberikan kepada akhbar, tindakan tegas dikenakan kepada pegawai KPM, sama juga tindakan yang tegas perlu diberikan kepada mereka yang terlibat ini.”
Beliau menekankan bahawa tindakan yang sewajarnya harus diambil bukan sahaja untuk menegakkan kedaulatan simbol negara, tetapi sebagai satu bentuk pengajaran agar insiden seumpama itu tidak berulang.
Terdahulu, penganjur Himpunan Teguh Memimpin Terengganu (TMT 1.0) 2025 telah tampil memohon maaf secara terbuka dan menyatakan kesilapan teknikal sebagai punca insiden berkenaan.
Namun begitu, tekanan daripada pelbagai pihak termasuk sayap Pemuda UMNO menunjukkan isu ini bukan semata-mata soal teknikal, sebaliknya menyentuh soal semangat patriotisme dan rasa hormat terhadap bendera negara.
Sumber : Facebook Dr Akmal Saleh








