Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Setiap pasangan suami isteri ada cara tersendiri menghargai satu sama lain. Namun tindakan usahawan dan pempengaruh terkenal, Prince Syed Shahid, memberi nafkah tahunan sebanyak RM500,000 tunai kepada isterinya, Fatin Syazwani, nyata mencetuskan kejutan ramai.
Dalam video yang dimuat naik di media sosial, Prince Syed dengan tenang mengira sejumlah wang tunai di hadapan isterinya sambil berkata, “Salam RM500K. Cukuplah untuk perbelanjaan buat isteri nak beli takoyaki, waffle dan pad setahun. Paling penting mencari rezeki halal buat keluarga.”
Beliau turut menunjukkan beberapa barangan kemas dan menyatakan bahawa semuanya adalah betul, bukan sekadar konten untuk tontonan umum. Prince Syed juga sempat memuji penampilan isterinya sambil memfokuskan kepada pakaian, beg tangan dan aksesori yang dipakai.
“Cantiknya isteri abang, makin tua makin cantik… baju coklat, bag Dior warna coklat yang penting asli bukan palsu… memang meletop,” katanya lagi.
Namun tindakan itu menerima pelbagai reaksi dalam kalangan netizen. Ada yang kagum dengan kemurahan hatinya dan menganggap itu sebagai bukti kasih sayang seorang suami terhadap isteri. Tidak kurang juga yang beranggapan video tersebut berlebihan dan dilihat seolah-olah menunjuk kekayaan.
Segelintir turut menyuarakan kebimbangan soal keselamatan selepas beliau mendedahkan jumlah wang yang besar kepada umum, selain mengkritik tindakan itu sebagai tidak sensitif terhadap rakyat marhaen yang sedang bergelut dengan kos sara hidup.
Sebelum ini, Prince Syed juga pernah berbelanja hampir RM1 juta untuk membeli barangan kemas sempena Hari Raya buat isterinya, menjadikan pasangan ini antara yang sering mencuri perhatian dengan gaya hidup mewah mereka.








