Myvi paling banyak terlibat kemalangan & tuntutan insurans tahun 2024 | The Reporter

Myvi paling banyak terlibat kemalangan & tuntutan insurans tahun 2024

Gambar hiasan kemalangan melibatkan Perodua Myvi di Malaysia
Gambar hiasan kemalangan libatkan Myvi — model ini catat tuntutan insurans tertinggi tahun 2024.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Data daripada Majlis Pengurangan Kecurian dan Kemalangan Kenderaan Malaysia (VTAREC) mendedahkan bahawa Perodua Myvi mencatat jumlah tuntutan insurans kemalangan tertinggi di Malaysia bagi tahun 2024, dengan sebanyak 24,628 kes direkodkan.

Angka ini menjadikan Myvi sebagai model kenderaan paling banyak terlibat dalam kemalangan dan tuntutan insurans sepanjang tahun lalu.

Senarai itu turut menyebut model-model lain yang kerap terlibat dalam insiden sama seperti Proton Saga (16,159 kes), Honda City (13,388), Perodua Axia (13,285), dan Toyota Vios (13,007). Perodua Bezza pula direkodkan sebanyak 12,473 kes, disusuli Perodua Alza (8,262), Proton Persona (6,930), Toyota Hilux (6,330) dan Honda Civic (4,371).

Dalam kategori motosikal, Yamaha 135LC muncul sebagai model paling banyak terlibat dalam kemalangan dengan hampir 3,000 tuntutan insurans sepanjang 2024.

Penyelaras VTAREC, Mas Tina Abdul Hamid, menjelaskan statistik tersebut adalah berdasarkan data sebenar daripada syarikat-syarikat insurans di seluruh negara.

Katanya, analisis ini penting untuk memberi kesedaran kepada pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati, khususnya bagi pemandu kenderaan yang sering terlibat dalam kemalangan.

Secara keseluruhan, Malaysia merekodkan 266,716 kes kemalangan jalan raya pada tahun 2024. Daripada jumlah itu, 229,739 melibatkan kenderaan persendirian, 21,828 membabitkan kenderaan komersial, manakala motosikal mencatat 15,149 kes.

Related Posts