InDrive, Maxim bakal disekat? Didakwa beroperasi tanpa lesen | The Reporter

InDrive, Maxim bakal disekat? Didakwa beroperasi tanpa lesen

Seorang pemandu menggunakan aplikasi peta di telefon pintar semasa memandu.
Aplikasi peta sering digunakan pemandu e-hailing, namun isu keselamatan timbul apabila mereka tidak memiliki lesen atau insurans sah.

Dua aplikasi e-hailing popular dari Rusia, InDrive dan Maxim, kini berdepan gesaan supaya disekat sepenuhnya susulan dakwaan beroperasi secara haram di Malaysia tanpa mematuhi undang-undang sedia ada.

Didakwa langgar undang-undang e-hailing sedia ada

Persatuan Penghantar P-hailing Malaysia (Penghantar Malaysia) mendakwa kedua-dua platform itu membenarkan pemandu tanpa lesen PSV dan insurans sah terus mengambil penumpang — sekali gus menjejaskan keselamatan pengguna serta menindas pemandu berlesen.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, pemandu-pemandu di bawah platform tersebut bukan sahaja tidak memiliki Lesen Vokasional Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), malah turut mengabaikan keperluan seperti insurans e-hailing dan pemeriksaan kenderaan.

“Tindakan ini sangat tidak adil kepada pemandu sah dan juga berisiko kepada keselamatan penumpang,” ujar kenyataan tersebut yang dipetik dari laporan Harian Metro.

APAD digesa bertindak tegas, jangan berdiam diri

Penghantar P-hailing Malaysia menyokong langkah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang sebelum ini memberi tempoh tiga bulan kepada InDrive untuk menghentikan operasi dan menyerahkan lesen. Namun, persatuan itu bimbang dengan kelembapan tindakan susulan, apatah lagi apabila InDrive secara terbuka menyatakan mereka masih beroperasi seperti biasa.

“Mereka sudah menerima surat penutupan operasi, namun terus berani beroperasi dan memberi kenyataan ‘business as usual’. Ini seolah-olah mencabar kewibawaan APAD. Sudah tiba masanya penguatkuasaan dilakukan dengan tegas,” katanya lagi, menegaskan betapa pentingnya pihak berkuasa tidak lagi berdiam diri.

Persatuan itu turut meluahkan kebimbangan terhadap potensi aplikasi-aplikasi ini terus beroperasi secara senyap walaupun kelak diharamkan. Mereka menyifatkan tindakan tidak tegas kerajaan sebagai mesej yang salah kepada industri — menggalakkan ketidakpatuhan undang-undang dalam sektor gig.

Tiga tuntutan utama untuk lindungi industri & pengguna

Sehubungan itu, tiga tuntutan dikemukakan kepada kerajaan. Pertama, meminta APAD mengeluarkan kenyataan rasmi menjelaskan status tindakan terhadap InDrive dan Maxim. Kedua, menuntut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) segera menyekat aplikasi-aplikasi tersebut. Dan ketiga, mendesak kerajaan memperkukuh komitmen terhadap aspek keselamatan dan keadilan dalam industri e-hailing.

“Kegagalan bertindak hanya akan mengorbankan nyawa, melemahkan kepercayaan pengguna dan menjejaskan kelangsungan pemandu sah. Industri gig akan hancur jika pihak haram terus diberi ruang,” tegas kenyataan itu.

Related Posts