Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pempengaruh media sosial, Danial Mirza Arizan atau lebih dikenali sebagai DMA Islam, mencetuskan kontroversi susulan kenyataannya yang menggelar golongan B40 sebagai paling malas di Malaysia.
Ketika menjawab soalan pengikutnya di TikTok yang bertanya mengapa golongan B40 sering memberi tumpuan kepada isu politik, DMA Islam berkata:
“Kenapa golongan B40 suka hal politik bang? Sebab B40 ni golongan pemalas. Golongan mana paling malas kat Malaysia? B40.”
DMA mendakwa mereka yang berada dalam kelompok berpendapatan rendah tidak fokus kepada usaha mencari pendapatan, sebaliknya terlalu banyak mengadu, bergaduh tentang isu politik dan sibuk memperkatakan hal selebriti.
“Orang miskin tak buat duit. Usaha sikit, lepas tu banyak complaint. Bila artis kahwin, dia nombor satu yang bising. Bro, f*** you. Suka hatilah dia nak curang pun, kau miskin. Faham tak?”
Beliau turut menyentuh tentang sikap tidak ingin berubah, kononnya golongan B40 selesa berada di takuk lama dan tidak berusaha menambah kemahiran atau keluar dari zon selesa.
“Kau dahlah kerja kerani 30 tahun, tak buat benda lain. Tak belajar skill baru, tak belajar bisnes. Asyik buat benda sama dan merungut kenapa hidup tak berubah. Jadi, macam mana hidup kau nak berubah?”
DMA turut membuat perbandingan dengan golongan kaya yang menurutnya lebih bersikap proaktif dan tidak pernah berasa cukup, walaupun telah mencapai kekayaan.
“B40 buat sikit dah rasa penat dan rasa dah buat banyak. Orang kaya dia buat banyak tapi masih rasa sikit. Itu beza B40 dengan orang kaya.”
Kenyataan tersebut mencetuskan reaksi keras dalam kalangan pengguna media sosial. Ramai menganggap kata-kata DMA sebagai biadab, angkuh dan tidak mencerminkan pemahaman sebenar tentang realiti kehidupan B40.
Netizen mempersoalkan bagaimana seseorang boleh merendah-rendahkan golongan yang sudah sedia berdepan kesukaran hidup, sedangkan ramai dalam kalangan B40 berusaha keras untuk menyara keluarga walaupun dalam pekerjaan bergaji rendah.
Ada yang menyifatkan kenyataan DMA sebagai penghinaan kepada ibu bapa mereka sendiri yang bekerja sebagai buruh tetapi mampu memastikan anak-anak berjaya dalam pelajaran dan kerjaya.
Sebahagian pengguna media sosial juga menegaskan bahawa ramai golongan T20 mendapat kekayaan menerusi warisan keluarga, manakala B40 pula tiada pilihan selain bekerja keras untuk keluar daripada kitaran kemiskinan. Justeru, membandingkan usaha dua golongan ini secara pukul rata disifatkan sebagai tidak adil.
Beberapa pandangan lain turut menyentuh isu struktur ekonomi yang tidak seimbang, di mana pekerja bawahan terus dibayar gaji rendah meskipun bekerja keras. Malah, ada yang menyifatkan sistem sosial negara ini sudah semakin menyerupai sistem kasta, di mana mobiliti sosial semakin sukar dicapai.








