Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad tampil menjelaskan isu kehadiran Datuk Seri Siti Nurhaliza di majlis sambutan Hari Raya anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang menjadi bualan hangat netizen.
Baca: ‘Saya datang sebagai tetamu, menyanyi rela hati tanpa bayaran’
Menurut Dr Dzulkefly dalam satu hantaran di platform X, kehadiran Siti adalah sebagai tetamu bagi meraikan Perdana Menteri serta petugas kesihatan dari pelbagai agensi, universiti dan sektor swasta.
Beliau menegaskan, penyanyi itu hadir secara sukarela dan membuat persembahan tanpa sebarang bayaran.
Mengakui kritikan yang diterima adalah adil, Dr Dzulkefly berkata perkara ini dijadikan peringatan buat semua pihak. Pada masa sama, beliau menegaskan komitmen KKM untuk terus memperbaiki isu-isu berkaitan kebajikan pekerja kesihatan.
Terdahulu, Siti Nurhaliza turut memberikan penjelasan melalui Instagram Story. Beliau menjelaskan dirinya hadir ke majlis tersebut bukan sebagai artis undangan, sebaliknya sebagai tetamu. Persembahan nyanyian itu dilakukan atas kehendak sendiri, atas rasa penghargaan kepada warga KKM, tanpa sebarang permintaan bayaran.
Siti turut menasihatkan supaya tiada pihak memanjangkan fitnah atau mengaitkan namanya dengan berita yang tidak sahih mengenai kehadirannya di majlis tersebut.








