Pasangan pelakon Edika Yusof dan Hidayah Yusri hadir di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini bagi sebutan pertama prosiding permohonan cerai yang difailkan oleh Hidayah.
Hidayah yang tiba dengan memakai baju kurung biru dilihat tenang dan ditemani anak lelakinya. Dalam kenyataan kepada media, Hidayah mendedahkan bahawa permohonan cerai ini bukanlah kali pertama, sebaliknya dia pernah beberapa kali berdepan situasi suaminya melafazkan talak.
“Apa yang saya buat hari ini bukan baru. Sebelum ini saya dah ke mahkamah untuk pengesahan lafaz talak yang dilafazkan so many times. Tapi Edika nafikan dan angkat sumpah laknat Januari lepas,” katanya memetik Media Hiburan.
Menurutnya, dia pernah mencadangkan supaya isu rumah tangga itu diselesaikan secara baik, namun usaha itu tidak membuahkan hasil.
“Saya dah ajak selesaikan secara elok supaya orang tak tahu. Tapi dia nak panjangkan. Anak-anak pun tahu apa yang berlaku,” ujar Hidayah.
Terdahulu, Edika ketika ditemui media menyatakan dia bersedia menerima keputusan isterinya, namun masih mahu mencuba menyelamatkan perkahwinan mereka.
Edika turut berharap agar mahkamah membenarkan doktor pakar menjadi pemerhati ketika prosiding berlangsung dan mencadangkan agar sesi kaunseling dijalankan bagi membincangkan kemelut yang telah lama berlarutan.








