Polis tahan Bella dan 7 lelaki kes pukul viral, 4 positif dadah | The Reporter

Polis tahan Bella dan 7 lelaki kes pukul viral, 4 positif dadah

Seorang pemuda dipukul oleh beberapa lelaki dalam kejadian yang dirakam dan tular di media sosial
Rakaman kejadian yang tular memaparkan mangsa dipukul sekumpulan lelaki di Plentong. Semua suspek kini telah ditahan polis.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita dikenali sebagai ‘Bella’ bagi membantu siasatan berhubung insiden seorang pemuda dibelasah beramai-ramai di sebuah pangsapuri di Masai, Johor, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd. Sohaimi Ishak berkata, kesemua suspek berusia antara 19 hingga 26 tahun diberkas semalam selepas mangsa berusia 21 tahun membuat laporan polis sehari sebelumnya.

“Mangsa memaklumkan kejadian berlaku sekitar jam 9.30 malam pada 18 April lalu di Pangsapuri Plentong Baru, selepas dia dijemput oleh seorang wanita yang dikenalinya melalui media sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd. Sohaimi, sebaik tiba di lokasi, mangsa telah dikurung sebelum dipukul dan dicederakan oleh sekumpulan lapan lelaki di pangsapuri tersebut.

Akibat serangan itu, mangsa mengalami luka di bibir dan telinga kiri serta lebam di beberapa bahagian badan. Kes disiasat mengikut Seksyen 342, Seksyen 385 dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek direman selama enam hari hingga 26 April untuk siasatan lanjut. Lima daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan penyalahgunaan dadah,” jelasnya.

Ujian air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine.

Video kejadian yang dirakam dan dikongsi sendiri oleh wanita dikenali sebagai ‘Bella’ sebelum ini turut mencetuskan kemarahan orang ramai dan tular di media sosial.

Related Posts