Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, memaklumkan Malaysia secara rasmi telah mendapat kelulusan untuk mengeskport buah kelapa segar ke China.
Menurutnya, detik bersejarah bagi sektor pertanian negara dirakam apabila berlangsungnya sesi pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Republik Rakyat China, dalam Protokol Keperluan Fitosanitari antara Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan Malaysia pada Rabu.
“Alhamdulillah, dengan termeterainya protokol ini, Malaysia kini secara rasmi mendapat kelulusan untuk mengeksport buah kelapa segar ke China. Ini bukan sahaja membuka peluang besar kepada pengusaha kelapa tempatan, malah memberi nafas baharu kepada industri kelapa negara secara keseluruhan,” kata beliau.
Dalam satu hantaran rasmi beliau berkata bahawa kejayaan ini merupakan hasil usaha gigih dan rundingan berterusan antara kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan perdagangan serta membuka lembaran baharu untuk produk pertanian Malaysia di pasaran global.
“Ini merupakan hasil usaha gigih dan rundingan berterusan antara kedua-dua negara demi memperkukuh hubungan perdagangan yang telah lama terjalin,” katanya.
Pemeteraian ini ujarnya penting dalam memastikan kebolehpasaran dan daya saing kelapa segar Malaysia di pasaran antarabangsa, khususnya China. Ia juga akan menggalakkan pengusaha kelapa tempatan untuk mengamalkan kaedah pertanian yang baik dan sistematik, sejajar dengan keperluan eksport dan piawaian antarabangsa.
“Langkah ini membuktikan komitmen kerajaan dalam memperkukuh keterjaminan makanan negara, selain meningkatkan hasil eksport pertanian yang mampu menyumbang secara langsung kepada pendapatan rakyat dan pengukuhan ekonomi negara.
“Kerajaan akan terus memastikan hasil pertanian tempatan mendapat tempat sewajarnya di pasaran antarabangsa sekaligus menjana pendapatan yang lebih tinggi kepada rakyat dan mengukuhkan ekonomi negara,” katanya lagi.








