Seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai bekas pegawai TCO tampil menjelaskan dakwaan Menteri Besar (MB) Terengganu kononnya beliau telah ‘dilabel’ sebagai individu di bawah perintah kawalan TCO.
Dalam satu tangkap layar tular, Mat Husin menjelaskan bahawa tiada istilah “label TCO” yang wujud. Sebaliknya, TCO hanyalah sebuah unit kawalan keselamatan yang berperanan memantau pergerakan individu berkepentingan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin, terutamanya ketika melalui pintu masuk domestik dan antarabangsa.
“MB dilabel TCO itu bermakna pergerakan MB perlu dirujuk kepada TCO. TCO adalah satu unit yang berada di setiap pintu masuk domestik dan antarabangsa,” katanya.

Menurut beliau, tokoh-tokoh utama negara seperti MB, kerabat diraja, Perdana Menteri (PM), Timbalan Perdana Menteri (TPM) atau mana-mana individu yang berpotensi menjadi sasaran ancaman akan diberi perhatian oleh TCO untuk tujuan keselamatan.
“Yakni TCO perlu pastikan keselamatan individu-individu tersebut dari sudut ancaman di kompleks pintu sempadan dan pelbagai lagi,” jelasnya.
TCO bantu lindungi pemimpin di Luar Negara
Beliau menegaskan, pemantauan ini penting kerana sekiranya berlaku apa-apa kejadian luar jangka di luar negara, unit TCO akan menjadi pihak pertama yang tahu dan bertindak segera dengan memaklumkan kepada KDN, PDRM dan agensi berkaitan.
“Contoh, MB pergi Thai dan ditahan pengganas di sana, TCO akan menjadi yang pertama tahu dan akan maklumkan kepada KDN, PDRM dan pihak berkaitan,” katanya.

Mat Husin juga menyentuh soal keupayaan pasukan pengiring dan setiausaha MB dalam situasi kecemasan, dan mempersoalkan tahap keberkesanan mereka sekiranya MB berada di luar negara.
“Berapa pantas tindakan yang dorang boleh lakukan untuk safety MB. Berapa laju SU MB boleh lapor kecemasan ke pihak keselamatan?” soalnya.
Beliau menegaskan, TCO memainkan peranan penting dengan memaklumkan kepada kedutaan Malaysia di luar negara mengenai pergerakan MB agar mereka bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan seperti penculikan atau insiden tidak diingini.
TCO bebas politik, fokus keselamatan
Jelas beliau lagi, TCO merupakan antara elemen yang paling tidak dipengaruhi oleh politik. Fokus utama mereka adalah memastikan keselamatan pintu masuk negara dan memantau individu yang ingin memasuki kawasan bergolak.

Menurutnya, banyak insiden keselamatan besar yang dilaporkan di media antarabangsa sebenarnya turut dipantau oleh TCO, meskipun tidak didedahkan secara terbuka kepada umum.
“Isu keselamatan di pintu masuk antarabangsa dan domestik ni kena fokus 200%. Lagi-lagi kalau kelompok ni hendak pergi ke lokasi yang sedang bergolak.
“Tapi TCO ni insiden yang tak didedahkan oleh negara luar kepada umum pun mereka take note untuk keselamatan kelompok terpilih tu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menyeru agar para wakil rakyat lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan berkaitan isu keselamatan negara dan menasihatkan mereka agar merujuk terus kepada agensi terlibat.








