Kanak-kanak paling gembira apabila tibanya musim perayaan Aidilfitri. Selain dapat menjamu selera dengan bermacam-macam hidangan, pemberian duit raya merupakan perkara yang ditunggu-tunggu.
Setiap kali sampul raya dibuka, wajah mereka pasti tersenyum riang. Sudah pastinya bermacam-macam perkara yang terlintas di fikiran mereka untuk dibeli.
Namun, lain pula yang difikirkan oleh dua adik beradik ini apabila menggunakan duit raya untuk membeli emas. Emas tersebut katanya dipilih sendiri untuk dipakai ibu mereka.
“Duit raya tukar kepada emas. Anak-anak kata nak pilih sendiri biar mama pakai. Depan hari nanti tak mustahil jumlahnya lima kali ganda. Suka tuan kedai tengok gelagat anak-anak memilih,” kongsi ibu mereka, ijahahmad90.
Perkongsian menerusi TikTok ini juga menjadi inspirasi ramai membuktikan bahawa duit raya bukan sekadar untuk keseronokan semata-mata, tetapi sebagai satu sikap atau tindakan kanak-kanak berkenaan yang berfikir lebih jauh.
Rata-rata netizen memuji sikap kedua-dua adik beradik ini yang disifatkan bijak memikirkan masa hadapan.
Namun, ada juga yang mencadangkan agar duit raya berkenaan digunakan untuk membeli jongkong emas untuk kegunaan akan datang.








