‘You Touch, You Go!’ – Dr Asyraf Wajdi arah siasatan segera kes buli di MRSM | The Reporter

‘You Touch, You Go!’ – Dr Asyraf Wajdi arah siasatan segera kes buli di MRSM

Kes buli di MRSM
Dr Asyraf menegaskan tiada kompromi terhadap insiden buli. Gambar: Tangkap layar FB Utara Kini. Gambar Kecil: The Star

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang insiden buli yang berlaku di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Beliau dalam satu kenyataan menyatakan bahawa beliau telah mengarahkan pegawainya untuk menyiasat segera dakwaan kejadian buli yang tular dan dikaitkan dengan institusi pendidikan di bawah kendalian MARA.

“Saya sudah minta pegawai saya siasat segera jika benar peristiwa ini berlaku di MRSM. Jika benar pelajar-pelajar ini adalah pelajar MRSM, tiada kompromi lagi, tindakan tegas pasti akan diambil,” tegasnya.

Tambah beliau, MARA memandang serius sebarang perlakuan buli dalam kalangan pelajar, dan pihak pengurusan telah diingatkan berkali-kali agar tidak bertolak ansur dengan sebarang unsur buli, tidak kira dalam bentuk fizikal, verbal mahupun psikologi.

“Saya sudah mengingatkan banyak kali semenjak diberikan amanah menjaga MARA, ‘You touch, you go!’ Tiada tempat untuk pembuli atau yang cuba membudayakan ‘buli’ dalam apa jua bentuk di MRSM,” katanya lagi.

Terdahulu, tular sebuah video yang merakamkan insiden buli dipercayai melibatkan pelajar sekolah MRSM di utara.

Menerusi rakaman video berkenaan, seorang pelajar dilihat menindih badan mangsa berulang kali, manakala seorang lagi pelajar memukul mangsa dengan menggunakan tali pinggang sebelum mengambil tindakan mengikat kaki mangsa. Mangsa didapati tidak membalas, sebaliknya hanya kedengaran suara mengerang kesakitan.

Related Posts