Seorang anggota tentera yang ditahan selepas dipercayai menumbuk seorang pemandu wanita dalam kejadian di Senawang, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mencederakan mangsa walaupun video insiden itu telah tular di media sosial.
Menurut laporan Harian Metro, tertuduh, Abdul Hafiz Abu Bakar, 35, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di Mahkamah Majistret Seremban di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa menumbuk kepala seorang wanita berusia 28 tahun di Taman Satria, Senawang, kira-kira jam 10.20 malam pada 29 Mac lalu. Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 jika sabit kesalahan.
Kes itu mencuri perhatian ramai selepas video insiden berkenaan tular, memaparkan suspek bertindak kasar terhadap wanita tersebut. Kejadian dipercayai berpunca selepas anak tertuduh yang sedang melintas jalan bersama ibunya, dilanggar oleh kereta mangsa jenis Perodua Axia.
- ‘Sebelum nak cakap, tolong gunakan otak’ -Akmal bidas Khoo Poay Tiong
- 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia bakal ditempatkan di Türkiye – Zahid
- ‘Nak bernafas pun masih struggle’ – Amir Raja Lawak kongsi keadaan terkini
- ‘Penanda kiblat bukan bermaksud Gunung Kinabalu jadi kawasan orang Islam’ – Lelaki Sabah
- Badak air terkenal di AS mati selepas tertelan topi dilambung kanak-kanak
Menurut polis, pelanggaran berlaku secara tiba-tiba kerana dua beranak itu melintas dari arah kiri jalan dan pemandu tidak sempat mengelak. Kedua-dua mereka mengalami kecederaan ringan, manakala wanita yang memandu mengalami lebam di rusuk dan bengkak di kepala selepas dipukul suspek.
Peguam tertuduh memohon jaminan rendah kerana anak guamnya menanggung dua anak kecil, ibu bapa dan isteri. Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin. Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Mei untuk penyerahan dokumen dan laporan perubatan.
Tentera Darat Malaysia memaklumkan mereka tidak akan campur tangan dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada polis. Kes kini dikendalikan oleh Bukit Aman kerana membabitkan seorang penjawat awam.








