'Saya bukan lagi B40, saya seperti gelandangan' – Pesara hilang harta RM1.5 juta akibat letupan di Putra Heights | The Reporter

‘Saya bukan lagi B40, saya seperti gelandangan’ – Pesara hilang harta RM1.5 juta akibat letupan di Putra Heights

Zainudin Abdul Halim, pesara kerajaan yang hilang rumah dan harta selepas letupan di Putra Heights

“Sekarang, saya bukan lagi B40… saya seperti gelandangan yang tidak mempunyai apa-apa,” luah Zainudin Abdul Halim, 60, yang hilang segala-galanya dalam insiden letupan paip gas bawah tanah di Putra Heights, kelmarin.

Zainudin, pesara kerajaan dari Kampung Kuala Sungai Baru, kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah dan aset miliknya yang dianggarkan lebih RM1.5 juta hangus dalam kebakaran besar tersebut.

Dalam kejadian pagi Aidilfitri kedua itu, sembilan rumah termasuk lapan unit sewa yang diusahakan Zainudin musnah sekelip mata. Lebih memilukan, impian menunaikan umrah yang dijadualkan Rabu depan turut terpaksa dibatalkan.

Menurutnya, kejadian berlaku ketika beliau baru pulang bersarapan bersama rakan dan sedang berbual bersama isteri mengenai perancangan balik kampung ke Rembau.

“Kira-kira jam 8.10 pagi, saya baru letak roti canai yang dibeli di dapur dan masuk ke bilik. Tiba-tiba rumah bergegar dan saya dengar letupan kuat diikuti bunyi seperti enjin jet. Bila buka pintu rumah, saya nampak langit merah dan benda jatuh dari langit,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Zainudin berkata, dia sempat menjerit menyuruh semua ahli keluarga keluar menyelamatkan diri. Salah seorang anaknya meminta dia menyelamatkan kereta, namun dia memilih nyawa.

“Kalau saya selamatkan kereta, mungkin saya dah mati. Kami terus lari kira-kira 200 meter sambil berlindung di rumah jiran dan basahkan badan sebab bahang terlalu kuat,” ujarnya.

Zainudin berkata, dia bersama lapan ahli keluarga lain termasuk isteri, tiga anak, dua menantu, seorang cucu dan ibu mentua kini dirawat di Hospital Putrajaya dan Hospital Sultan Idris Shah.

Katanya, tubuhnya melecur dan luka hampir 70 peratus. Salah seorang anaknya pula terpaksa menjalani pembedahan akibat melecur di tapak kaki kerana lari tanpa memakai selipar.

“Kalau ikut jarak rumah saya dengan lokasi letupan, cuma 30 hingga 40 meter. Kalau Tuhan tak selamatkan saya, mungkin saya orang pertama yang mati,” katanya sebak.

Related Posts