Seorang lelaki di Swindon, England, dilarang memelihara haiwan selama lima tahun selepas didapati bersalah atas pertuduhan mencederakan anak kucing peliharaannya dan cuba menyembunyikan perbuatan itu dengan alasan tidak masuk akal — kononnya televisyen terjatuh dan menghempap haiwan berkenaan.
Kyson Cummings, 24, menyebabkan kecederaan serius terhadap anak kucing berusia empat bulan bernama Grimz, sehingga doktor haiwan terpaksa menidurkannya. Mahkamah Majistret Swindon pada 13 Mac lalu menjatuhkan hukuman kerja komuniti selama 18 bulan, termasuk 150 jam kerja tanpa bayaran serta sesi pemulihan.
Difahamkan, Grimz tinggal bersama keluarga Cummings selama kira-kira enam minggu sebelum kejadian pada November 2024. Cummings mendakwa kucing itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah televisyen yang didakwa jatuh dari rak.
Namun hasil pemeriksaan doktor haiwan mendapati, kecederaan pada kepala kucing itu terlalu parah dan tidak sejajar dengan dakwaan tersebut. Malah, seorang ahli keluarga turut memberitahu doktor bahawa Cummings pernah menyuarakan hasrat untuk mencederakan Grimz kerana tidak berpuas hati dengan tabiat kencingnya.
- Catatan doa dan persiapan Haji Lisa Surihani raih perhatian
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
- Azhar Ahmad, Nik Alif Aiman capai perdamaian, selesai salah faham secara baik
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
Pakar veterinar bebas, David Martin, yang dipanggil sebagai saksi oleh RSPCA, menyatakan kecederaan yang dialami Grimz lebih padan dengan hentakan kuat seperti tendangan di bawah kepala, bukan disebabkan televisyen terjatuh.
“Seekor anak kucing seberat satu kilogram tidak mungkin dapat menggerakkan atau menjatuhkan televisyen. Kecederaannya jelas menunjukkan unsur kekerasan yang disengajakan,” katanya memetik laporan BBC.
Martin turut memaklumkan, tiada bukti menunjukkan Grimz sempat sedar selepas serangan itu, namun tindakan kejam tersebut dipercayai berpunca daripada rasa marah selepas Grimz kencing di atas katil kira-kira sejam sebelum kejadian.
Pegawai RSPCA, Miranda Albinson berkata, “Grimz dipukul dengan begitu kuat sehingga satu-satunya jalan untuk mengurangkan penderitaannya ialah dengan menidurkannya. Memiliki haiwan peliharaan adalah satu amanah. Malangnya, Grimz telah dikhianati oleh tuannya sendiri.”








