Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada awalnya memaklumkan tiada sebarang kerja pembinaan dilakukan semasa kejadian letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.
Pengarah CIDB Selangor, Heryanti Hilmi berkata hasil laporan yang diterima menunjukkan hanya kerja pembentungan dilakukan pada 30 Mac, manakala kerja pembersihan dilakukan sehari selepas itu.
“Tiada kerja pembinaan berlaku di tapak tersebut pada 1 April, hari kejadian letupan,” katanya dalam kenyataan awal pada Rabu.
Tambahnya, tapak pembinaan yang tular dikaitkan dengan insiden tersebut sebenarnya terletak 30 meter dari lokasi letupan, dan hanya seorang pengawal keselamatan serta seorang pekerja berada di situ semasa kejadian.

- Catatan doa dan persiapan Haji Lisa Surihani raih perhatian
- Aduan ugutan jenayah Albert Tei terhadap Azam Baki diklasifikasikan sebagai NFA
- MPKj sahkan binaan haram di Sungai Makau, keluarkan notis penguatkuasaan
- Azhar Ahmad, Nik Alif Aiman capai perdamaian, selesai salah faham secara baik
- ‘Malaysia tidak perlukan Rashid Maidin 2.0’ – Pemuda MCA
Namun beberapa jam kemudian, CIDB mengeluarkan kenyataan baharu yang memohon maaf dan menarik semula kenyataan tersebut. Agensi itu menjelaskan penarikan itu dibuat bagi menghormati siasatan menyeluruh yang masih berjalan serta membabitkan pelbagai pihak berkuasa.
“CIDB memohon maaf atas kekeliruan yang mungkin timbul terutamanya kepada penduduk yang terjejas. Kami akan terus beri kerjasama penuh kepada pihak penyiasat dan pastikan siasatan dilakukan dengan telus,” kata kenyataan itu.
CIDB turut menegaskan mereka tidak akan berkompromi dalam isu pematuhan keselamatan dalam industri pembinaan, dan sebarang pelanggaran akan dikenakan tindakan sewajarnya.
Letupan besar yang berlaku sekitar jam 8.10 pagi Selasa itu mencetuskan kebakaran dahsyat dan membentuk kawah sedalam 32 kaki, melibatkan kawasan seluas 70×80 kaki. Api yang menjulang tinggi serta debu panas turut memusnahkan rumah, kenderaan dan harta benda dalam radius 500 meter dari lokasi kejadian.








