DFC Puncak Alam mohon maaf, kesilapan laungan azan Maghrib awal 3 minit | The Reporter

DFC Puncak Alam mohon maaf, kesilapan laungan azan Maghrib awal 3 minit

DFC Puncak Alam
Pelanggan yang berkunjung pada 17 Mac di premis berkenaan, dinasihatkan untuk menggantikan puasa. Gambar: FB DFC

Rangkaian makanan segera tempatan, DarSA Fried Chicken memohon maaf kepada pelanggan yang berkunjung ke restoran berkenaan di Puncak Alam pada 17 Mac lalu berhubung kesilapan laungan azan Maghrib.

Menurut kenyataan tersebut, azan Maghrib telah dikumandangkan pada pukul 7:26 malam, sedangkan waktu sebenar untuk berbuka puasa di kawasan Kuala Selangor adalah pada pukul 7:29 malam, berdasarkan rujukan rasmi daripada JAKIM.

Menyedari kesilapan itu, pihak DarSA Puncak Alam tampil memohon maaf kepada semua pelanggan yang terkesan akibat insiden tersebut. Mereka mengakui bahawa kejadian ini telah menyebabkan beberapa pelanggan berbuka puasa lebih awal daripada waktu yang sepatutnya.

“Kami dengan penuh rasa tanggungjawab memohon maaf di atas kekhilafan ini dan amat menghargai kesedaran serta keprihatinan pelanggan yang memaklumkan perkara tersebut,” katanya.

Menggantikan puasa

Sebagai langkah tanggungjawab, pihak pengurusan turut menasihatkan pelanggan yang telah berbuka puasa pada waktu yang salah untuk menggantikan (qadha’) puasa bagi mematuhi hukum syarak. Selain itu, mereka telah mengambil langkah pembetulan untuk memastikan perkara ini tidak berulang, termasuk menyemak serta menyelaraskan waktu azan dengan jadual rasmi solat.

“Sehubungan itu, kami menasihatkan pelanggan untuk menggantikan (qada’) puasa bagi mematuhi hukum syarak. Kami juga telah mengambil langkah-langkah pembetulan agar perkara ini tidak berulang termasuk menyemak dan menyelaras waktu azan dengan jadual rasmi solat,” jelas kenyataan itu.

Dalam kenyataan itu juga, pihak DarSA Puncak Alam menzahirkan penghargaan atas kepercayaan pelanggan terhadap perkhidmatan mereka.

“Kami menghargai kepercayaan anda terhadap DFC Puncak Alam dan berkomitmen untuk memberi pengalaman terbaik kepada semua pelanggan. Segala kesulitan amat dikesali dan terima kasih di atas sokongan anda,” katanya.

Related Posts