Jakel hampir saman kuil selepas 11 tahun tunggu, batal lepas dinasihat Dr Zaliha | The Reporter

Jakel hampir saman kuil selepas 11 tahun tunggu, batal lepas dinasihat Dr Zaliha

Mohamed Faroz Jakel dan Dr Zaliha Mustafa dalam isu pembinaan Masjid Madani
Foto: Utusan Malaysia, Bernama

Selepas menunggu lebih sedekad untuk menyelesaikan isu tanah di Jalan Munshi Abdullah, syarikat Jakel Trading hampir membawa kes ke mahkamah menentang jawatankuasa pengelola Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, syarikatnya telah merancang untuk mengambil tindakan undang-undang selepas 11 tahun usaha rundingan tidak membuahkan hasil. Namun, rancangan itu dibatalkan selepas beliau dinasihatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

“Kami hampir saman jiran kami, tetapi Dr Zaliha minta jangan teruskan sebab katanya ini boleh jadi isu perkauman besar. Dia cadangkan saya terus jumpa perdana menteri,” katanya memetik laporan MalaysiaKini, 27 Mac 2025.

Isu tanah itu turut mendapat perhatian apabila NGO Lawyers for Liberty mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjual tanah tersebut kepada Jakel pada 2014 tanpa memaklumkan kepada pihak kuil. Sedangkan enam tahun sebelum itu, DBKL telah mengarahkan kuil asal dipindahkan ke tapak berkenaan.

Faroz bagaimanapun menjelaskan, rundingan untuk membangunkan tanah seluas 12,142 kaki persegi itu bermula seawal 2009, sebelum perjanjian jual beli dimeterai pada 2014.

Selepas tanah dibeli, Jakel terus memohon kelulusan untuk membina masjid empat tingkat yang boleh memuatkan 2,900 jemaah dan dilengkapi lif, eskalator, taman serta ruang pembelajaran. Kelulusan pertama diterima daripada DBKL pada 17 Jun 2021, dan diperbaharui beberapa kali sejak itu.

Faroz turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas peranan penting beliau dalam menyelesaikan isu ini sehingga masjid yang dirancang akhirnya dapat dibina.

“Sebelas tahun kami tunggu dan berunding. Alhamdulillah, akhirnya berjaya. Datuk Seri akan dikenang kerana membantu kami dan masyarakat Islam di kawasan ini,” katanya.

Related Posts