Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pelakon, pelawak dan penyanyi veteran, Isma Aliff kini berdepan detik sukar dalam hidupnya apabila kesihatan yang semakin merosot membuatkan beliau tidak lagi mampu aktif seperti dahulu. Perubahan ketara pada keadaannya mencetuskan simpati ramai selepas video temu bualnya dalam program Sembang Sahur TV3 tular di TikTok.
Menerusi video dikongsi pengguna TikTok, Bojidmat, Isma kelihatan lemah dan sukar berjalan. Difahamkan, beliau pernah diserang angin ahmar pada penghujung 2023 selain mengalami masalah pada jantung dan paru-paru. Perkara itu memberi kesan besar terhadap percakapan dan pergerakannya.
“Abang Isma sekarang sukar berjalan sendiri dan percakapan beliau juga lemah… Terima kasih abang kerana pernah menghiburkan kami generasi 80-90an,” kata Bojidmat dalam hantaran yang tular dan meraih pelbagai doa netizen.
Dalam laporan Harian Metro, Isma, 61, memaklumkan percakapannya kini lebih jelas namun pergerakan masih terbatas kerana sebahagian tubuh kirinya masih kebas. Beliau dijadual menjalani rawatan susulan di Hospital Ampang pada April nanti, selain mencuba rawatan alternatif seperti akupuntur yang menelan kos RM90 sekali sesi.
- Amira Othman umum hamil 30 minggu
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
- Sanusi tegas tolak Langkawi jadi Wilayah Persekutuan
Isma yang menetap bersendirian di Kampung Melayu Ampang kini bergantung kepada wang zakat RM400 sebulan untuk meneruskan hidup. “Alhamdulillah ada juga bantuan. Tak banyak, tapi cukup untuk tampung keperluan asas. Mujur rumah ini milik saya, dapat juga berteduh biarpun kecil,” katanya.
Menurutnya, ada kalanya rakan-rakan lama menghulurkan bantuan, dan jika ada lebihan, wang itu digunakan untuk rawatan kesihatan. Beliau turut bersyukur kerana sudah boleh menguruskan diri sendiri tanpa lagi perlu memakai lampin atau bergantung pada tiub makanan seperti sebelum ini.
Sesekali masih ada tawaran berlakon diterima, namun kesihatan yang tidak mengizinkan membuatkan beliau terpaksa menolak. Isma juga berharap dapat meraikan Aidilfitri dengan kehadiran anak sulung dan cucu-cucunya yang kini jarang menjenguk.
“Saya hanya mahu sihat, dan harap dapat jumpa anak serta cucu. Itu pun dah cukup menggembirakan,” ujarnya yang sebolehnya tidak mahu menyusahkan adiknya yang juga mempunyai keluarga sendiri.








