Telatahnya sering mengundang tawa baik di dunia lakonan dan pengacaraannya dulu mahupun realiti. Namun, keperitan yang dilalui siapa yang tahu. Di luar nampak kuat, tetapi di hatinya hanya dia yang merasai segala kepayahan yang ditanggung.
Memilih untuk bersama semula dengan bekas suaminya November lalu, Kiah Propa dipuji ramai kerana sanggup menerima kembali bekas suamianya apatah lagi apabila Kiah memaklumkan suaminya menghidap kanser.
Melihat Kiah seorang wanita yang kuat, ramai yang menyifatkan Kiah seorang wanita besi. Tanggungjawabnya terhadap suami tidak pernah diabaikan, malahan makan dan minum suaminya, Nazri sentiasa terjaga walaupun dia sibuk dengan perniagaan.
Kiah atau nama penuhnya Siti Rokhaida Abdul Khalil, sentiasa memuat naik hantaran mengenai perniagaannya serta perkembangan kesihatan Nazri.
Menerusi satu hantaran video di TikTok, satu-satunya hantaran yang meruntun hati ramai apabila melihat keadaan Kiah yang tekun menjalankan perniagaannya tanpa menghiraukan keadaan sekeliling.
“Sedih pulak tengok diri sendiri berusaha kerja tanpa hirau apa pun sekeliling demi mencari rezeki hujan panas. Aku reda, Ya Allah, semoga aku sihat untuk keluargaku.
“Perit itu di hati rasa itu di sini, namun aku tetap syukur, tak sikit aku mengeluh, cuma aku tak ada masa (healing) macam orang lain, seawal pagi hingga malam bekerja.
“Dan aku takkan menyesal untuk berkahwin, cuma sedikit lelah seorang perempuan,” katanya.








