Lebih 5,200 belia bankrap sejak 2020, pinjaman peribadi penyumbang utama | The Reporter

Lebih 5,200 belia bankrap sejak 2020, pinjaman peribadi penyumbang utama

Statistik kebankrapan belia di Malaysia sejak 2020.
Foto hiasan

Kebankrapan dalam kalangan belia semakin membimbangkan apabila seramai 5,272 individu berusia 34 tahun ke bawah diisytiharkan muflis sejak 2020 hingga kini, menurut Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Menurut laporan Bernama, daripada jumlah tersebut, 5,189 kes melibatkan individu berumur 25 hingga 34 tahun, manakala 83 kes membabitkan mereka di bawah usia 25 tahun. Tahun ini sahaja, sebanyak 877 kes kebankrapan direkodkan, meningkat sebanyak 150 kes berbanding 2023.

Pinjaman peribadi jadi faktor utama

Berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, hutang pinjaman peribadi dikenal pasti sebagai penyumbang terbesar kepada masalah ini, dengan 2,776 kes atau 46.4 peratus daripada keseluruhan 5,977 kes kebankrapan pada 2024. Selain itu, faktor lain termasuk:

  • Pinjaman perniagaan: 1,148 kes
  • Pinjaman perumahan: 474 kes
  • Sewa beli kenderaan: 444 kes
  • Penjamin korporat: 383 kes
  • Hutang cukai pendapatan: 110 kes
  • Hutang kad kredit: 89 kes
  • Kegagalan caruman KWSP: 77 kes
  • Biasiswa & pinjaman pelajaran: 9 kes
  • Menjadi penjamin sosial: 4 kes
Langkah kerajaan tangani isu muflis

Bagi membendung masalah ini, kerajaan menerusi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memperkenalkan Program Literasi Kewangan Belia, yang bakal dilaksanakan di seluruh negara dari April hingga Oktober tahun ini, dengan sasaran 30,600 peserta menjelang 2030.

Selain itu, program Genta Pemerkasaan Ekonomi Belia turut diperkenalkan untuk membantu anak muda menghadapi cabaran kos sara hidup, khususnya di Zon Tengah.

Hannah menegaskan bahawa Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) juga terus memainkan peranan penting dalam memberikan bimbingan kepada golongan belia bagi memastikan mereka lebih bijak dalam menguruskan kewangan dan mengelakkan risiko kebankrapan.

Related Posts