Pendakwah bebas, PU Syed mengkritik adegan babak menerusi drama tular yang diterbitkan oleh produksi Rumah Karya Citra milik Erma Fatima.
Babak drama Bidaah yang dilakonkan oleh Vanidah Imran itu merakamkan aksi Vanidah berbaring di atas katil dan menyentuh janggut Faizal Hussein dengan menggunakan kaki.
Ujarnya, drama berkenaan mengandungi plot cerita yang melampau apabila melibatkan agama Islam.
“Cerita Bidaah tu sendiri dah Bidaah Dholalah, apatah lagi plot-plot cerita yang melampau ditonjolkan khasnya bila melibatkan islam. Sudah mati idea gamaknya sutradara-sutradara di Malaysia ni dalam menghasilkan cerita-cerita berkualiti dan patuh syariah.
“Memang wujud ajaran-ajaran sesat yang menghambakan pengikut-pengikutnya namun saya rasa tak perlulah dipertontonkan kepada khalayak. Apatah lagi scene atas katil juga dipertontonkan seperti video yang diviralkan di media sosial,” katanya.
Hasilkan drama lebih patriotik dan islamik
Dalam hantaran di Facebook itu juga, PU Syed memberikan cadangan agar pengarah terkenal itu cuba menghasilkan drama yang lebih berunsurkan patriotik dan islamik.
“Makcik Erma Fatima ni bolehlah cuba buat drama yang melibatkan cinta kepada tanah air seperti ketenteraan, kepolisian, atau cerita-cerita islamik yang lebih realistik untuk kesedaran masyarakat,” katanya.
Beliau juga berkongsikan menerima mesej dari seorang individu yang menegur drama bertajuk Keluarga itu yang dilakonkan oleh pelakon terkenal tanah air.
“Saya juga dapat satu PM dari seorang hamba Allah untuk menegur cerita drama bertajuk Keluarga Itu yang dilakonkan oleh pelakon senior kerana dikatakan ada babak dan dialog yang tak senonoh ditonjolkan dalam drama tersebut,” katanya.
Beliau juga mempersoalkan tindakan pihak kementerian dalam menangani isu berkenaan.
“Jadi di sini boleh dipersoal apa fungsi agensi-agensi yang menapis drama atau filem sebelum dibenar untuk ditayangkan. Kementerian yang bertanggungjawab perlu tegas dalam isu ini,” katanya.








