Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dakwaan Ahli Parlimen pembangkang kononnya mereka “miskin” kerana tidak mendapat peruntukan kerajaan adalah tidak berasas. Katanya, pendapatan seorang Ahli Parlimen termasuk elaun boleh mencecah RM30,000 hingga RM40,000 sebulan.
“Mereka kata sampai berhutang, tapi gaji dan elaun seorang Ahli Parlimen biasa sahaja sudah RM30,000 hingga RM40,000. Kalau masih kata miskin, itu mungkin sebab berhutang banyak,” katanya semalam, memetik laporan Malaysia Gazette.
Bagaimanapun, kenyataan Anwar itu mendapat reaksi daripada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, yang menempelak beliau di Facebook.
“Marilah kita sama-sama berdoa di bulan Ramadan ini agar dibukakan pintu hidayah untuk Perdana Menteri kita berkata benar dan tidak menokok tambah sesuatu fakta ketika menyampaikan ucapan,” tulisnya.
Pendapatan Ahli Parlimen biasa cecah RM35,700 sebulan
Susulan kenyataan Ahmad Fadhli itu, Pemuda Amanah tampil menyanggah dakwaannya yang seolah-olah menggambarkan Perdana Menteri berbohong mengenai pendapatan Ahli Parlimen.
Exco Pemuda Amanah Nasional, Nash Nahar, menegaskan bahawa pendapatan seorang Ahli Parlimen biasa sememangnya boleh mencecah lebih RM30,000 sebulan, lebih-lebih lagi jika mereka menghadiri semua sidang dan mesyuarat rasmi.
Beliau turut menyindir Ahmad Fadhli dengan menyatakan bahawa sekiranya beliau rajin menghadiri sidang Parlimen, pendapatannya pasti lebih tinggi.
“Rajin-rajinlah ke Parlimen dan laksanakan tugas rasmi. Berdasarkan maklumat rasmi, seorang Ahli Parlimen biasa menerima pendapatan yang merangkumi pelbagai elaun selain gaji asas,” katanya.
Berikut adalah pecahan pendapatan seorang Ahli Parlimen biasa:
Gaji Asas: RM16,000
Elaun Keraian: RM2,500
Elaun Pemandu: RM1,500
Elaun Perjalanan Tetap: RM1,500
Elaun Bahan Api: RM1,500
Elaun Tol: RM300
Elaun Telefon: RM900
Bayaran Khas untuk Ahli Parlimen Bukan Menteri: RM1,500
Elaun Kehadiran Sidang Parlimen: RM400 sehari (andaian 20 hari persidangan: RM8,000)
Elaun Kehadiran Mesyuarat Jawatankuasa: RM300 sehari (andaian 5 hari mesyuarat: RM1,500)
Jumlah keseluruhan pendapatan bulanan: RM35,700
Menurut Nash, angka ini membuktikan pendapatan Ahli Parlimen biasa memang melebihi RM30,000 sebulan.
“Jadi, dakwaan bahawa Ahli Parlimen miskin kerana tiada peruntukan adalah mengarut. Masalahnya, ada yang malas hadir ke Parlimen dan tidak efektif dalam menjalankan tugas mereka sebagai pembangkang.
“Lebih baik peruntukan tersebut disalurkan terus kepada rakyat. Jadi sekarang, siapa sebenarnya yang tidak bercakap benar?” katanya.








