Lima beranak hidup dalam rumah penuh sampah, bergelut dengan tekanan hidup | The Reporter

Lima beranak hidup dalam rumah penuh sampah, bergelut dengan tekanan hidup

Keadaan rumah dipenuhi sampah di Kluang, didiami lima beranak yang hidup dalam kesempitan.
Keadaan rumah lima beranak yang dipenuhi dengan sampah. | Foto: Orang Awam

Seorang ibu bersama empat anaknya terpaksa tinggal dalam rumah sewa yang penuh timbunan sampah tanpa bekalan elektrik sejak 2016, selepas suaminya dipenjara dan ahli keluarga terdekat terjerumus dalam najis dadah.

Keadaan rumah di Kampung Padang Tembak, Kluang itu meloyakan, dengan sampah memenuhi ruang tamu hingga ke dapur. Wanita berusia 37 tahun itu bekerja sebagai pembuat colok dengan upah harian sekitar RM65, namun tidak mampu mencari kediaman lebih selesa.

Anak-anak takut tinggal di rumah

Mengakui tertekan dengan keadaan hidup, dia mahu keluar dari rumah itu tetapi terhalang oleh masalah kewangan.

“Anak-anak takut dengan pak cik mereka, saya juga risau kerana dia pernah mengamuk dan menyelongkar bilik mencari wang. Bila tak jumpa, dia jual apa sahaja barang yang ada,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Tanpa tilam untuk tidur, mereka berlima hanya beralaskan lantai ruang tamu. Dia sering kepenatan selepas pulang bekerja, kadangkala hanya mampu membeli lauk dan meminta anak-anak memasak nasi sendiri.

“Bulan puasa ini, kami kerap ke rumah saudara untuk berbuka dan balik sekitar jam 10 malam,” katanya.

Keadaan dalam bilik | Foto: Kluang Hari Ini
Barang-barang berselerak | Foto: Kluang Hari Ini
Depan rumah juga tidak teratur | Foto: Kluang Hari Ini
Sekitar halaman rumah yang tidak dibersih, boleh mengundang pebagai masalah | Foto: Kluang Hari Ini
Tiada kemudahan asas, sukar mohon bantuan

Sejak suaminya dipenjarakan tujuh tahun lalu atas kesalahan dadah, wanita itu menjadi satu-satunya tempat bergantung buat anak-anaknya yang berusia antara tujuh hingga 13 tahun. Anak sulungnya pula merupakan orang kurang upaya (OKU) intelektual.

Dia pernah cuba mendapatkan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi tidak mahir dengan proses permohonan.

“Saya diminta beri nombor akaun bank serta bil air dan elektrik, tapi rumah saya sudah lama tiada bekalan itu. Air pun kami ambil dari paip lain,” katanya.

Pihak berwajib turun padang

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah memaklumkan bahawa pihaknya akan turun padang bagi meneliti keadaan keluarga berkenaan dan mencari penyelesaian.

Sebelum ini, video memaparkan keadaan rumah tersebut tular di media sosial, mengundang pelbagai reaksi netizen yang prihatin terhadap nasib lima beranak itu.

Related Posts