Bagi Mohamad Fahmie Abdullah, 23, cinta bukan soal rupa tetapi keserasian dan keikhlasan hati. Meskipun ada yang mempertikaikan penampilannya dan isteri, Nur Erina Balqis Junaidi, 20, itu tidak mengubah sedikit pun kasih sayangnya terhadap wanita itu.
“Dari pertama kali bertemu, saya sudah jatuh cinta,” katanya memetik laporan Harian Metro, 8 Mac 2025, sekali gus menepis pandangan negatif segelintir pihak yang meragui pilihan hatinya.
Bermula di TikTok, berakhir di pelamin
Kisah cinta mereka bermula pada Oktober 2023, ketika perkenalan secara tidak sengaja menerusi siaran langsung di TikTok. Dari sekadar berkawan, hubungan mereka berkembang menjadi cinta sebelum mengambil keputusan untuk berkahwin pada 14 Februari lalu.
“Awalnya, kami hanya berkawan. Tapi semakin lama kenal, semakin saya yakin dia adalah orangnya,” katanya. Keputusan itu juga mendapat restu keluarga, sekali gus mempercepatkan urusan pernikahan mereka.
Cinta ikhlas, bukan soal rupa
Mohamad Fahmie tidak melihat rupa sebagai keutamaan dalam memilih pasangan hidup, sebaliknya menekankan keserasian dan restu keluarga.
“Apa yang penting, kami saling memahami dan menerima satu sama lain. Apa orang nak kata, itu hak mereka, yang penting saya bahagia,” ujarnya.
Bagi Nur Erina Balqis, perkahwinan ini seperti sebuah mimpi yang menjadi kenyataan. Pada awalnya, dia tidak percaya bahawa Mohamad Fahmie serius terhadapnya, tetapi sikap lelaki itu yang penyabar dan jujur membuatkan dia terbuka untuk menerima lamaran.
“Saya sangka dia hanya bergurau, tapi ternyata dia benar-benar ikhlas,” katanya, bersyukur kerana dipertemukan dengan jodoh yang menerima dirinya seadanya.
Kisah pasangan ini mendapat perhatian ramai di media sosial, dengan rata-rata netizen kagum dengan ketulusan cinta mereka. Ramai yang mendoakan agar hubungan mereka kekal bahagia hingga ke akhir hayat.
“Betul lah orang kata, cinta sejati tak pandang rupa. Bahagia sampai syurga ya!” kata netizen.








