Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dua pempengaruh Ammar Nazhan dan Muhamad Hafizul Haiman mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bergaduh di Bukit Bintang pada minggu lalu.
Mengikut fakta kes, dua lelaki berkenaan didakwa melakukan gaduh gempar di sebuah restoran di pusat beli-belah di Bukit Bintang pada 25 Februari lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum bawah seksyen yang sama, jika sabit kesalahan boleh dipenjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hench Goh mencadangkan kedua-dua tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM3,000 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, peguam K Ramalingam yang mewakili kedua-dua tertuduh merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum atas faktor masih bujang dan pendapatan sebagai pencipta kandungan RM2,000.
Sementara itu di mahkamah sama, empat lagi individu didenda masing-masing RM500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan sama.
Sabtu lalu, polis menahan 11 lelaki tempatan berusia 17 hingga 28 tahun berhubung kejadian rusuhan yang berlaku di sebuah restoran di sebuah pusat beli-belah di Bukit Bintang di sini selepas perlawanan tinju melibatkan pempengaruh media sosial pada 26 Februari lalu.
Terdahulu, Ammar Nazhan sebelum ini mencetuskan kontroversi membuat kandungan mengenai kehilangan rakannya di sebuah hutan di Indonesia. Ammar akhirnya memohon maaf apabila dikritik dan ada pihak yang mengesahkan kandungan berkenaan adalah rekaan semata-mata.
Sumber: Sinar Harian








