Kisah kanak-kanak istimewa, adik Shairid mendapat perhatian meluas daripada pelbagai pihak. Adik Shairid yang menghidap Caudal regression syndrome (CRS) tular baru-baru ini apabila ibunya memuatnaik video Shairid yang bersemangat ke sekolah bersama rakan-rakan.
Kesukaran Shairid yang berjalan, membuatkan ramai yang menghulurkan sumbangan kepadanya. Baru-baru ini, pempengaruh Nelysa Norazlan telah menyumbangkan jengkaut mainan dan pelbagai barangan lain untuk kegunaan Shairid.
Terbaharu, menerusi perkongsian di TikTok Amin Shukor, telah memberikan sumbangan tongkat beroda buat Shairid. Katanya, sumbangan berkenaan diharapkan dapat memudahkan pergerakan Shairid untuk jangka masa panjang.
“Alhamdulillah segalanya dipermudahkan dari awal. Ketika dari mula saksikan video pendek adik ini di sekolah hati saya berniat untuk menyumbang ‘sesuatu’ yang boleh memudahkan pergerakan Adik Shairid untuk jangka masa panjang.
“Saya bersyukur ibu kepada Shairid menerima usaha ini dari awal dan keterlibatan pihak-pihak yang merealisasikan impian ini juga amat-amat dipermudahkan Allah SWT.
“Kepada FITRAH Stainless Steel Fabrication, terima kasih yang tak terhingga bang kerana keterlibatan menerima idea saya dari awal untuk jayakan misi ini,” katanya.
Sementara itu juga, seorang lagi penderma yang dikenali sebagai Mr Steel turut menyumbangkan tongkat beroda yang dihasilkan sendiri buat Shairid.
Menerusi video yang dikongsikan itu, dia juga merakamkan disebalik pembuatan tongkat beroda tersebut sehingga ke pengeposan barang berkenaan dari Kedah ke Johor.
“Semoga selamat sampai kepada adik Shairid. Maaf, uncle tak dapat hantar sendiri sebab adik jauh sangat, semoga tongkat ni membantu adik nanti,” katanya.








