Seorang lelaki berusia 19 tahun yang ditahan berhubung cubaan mencabul seorang kanak-kanak perempuan di sebuah masjid di Batang Kali kini disiasat polis mengenai dakwaan memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU).
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pihaknya masih dalam proses mendapatkan maklumat terperinci mengenai dakwaan tersebut.
“Kami belum menerima maklumat lengkap dan sedang menyiasat dakwaan orang ramai yang menyatakan suspek memiliki kad OKU,” katanya memetik laporan Bernama.
Dalam kejadian yang berlaku pada awal pagi tadi, seorang kanak-kanak perempuan sedang khusyuk menunaikan solat bersendirian di saf belakang ruang solat wanita di sebuah masjid di Batang Kali. Tanpa disedari, dia menjadi sasaran perbuatan tidak senonoh oleh seorang lelaki yang menyelinap masuk ke kawasan tersebut.
Ibu mangsa turut berada di masjid pada waktu itu, membawa dua anaknya untuk menunaikan solat Subuh. Namun, hanya mangsa yang memilih untuk solat di saf belakang, tidak menyangka bahawa keputusannya itu akan membawa kepada detik mencemaskan yang tular di media sosial.
Suspek bagaimanapun berjaya ditahan pada tengah hari dengan bantuan orang awam di Batang Kali selepas laporan dibuat oleh ibu mangsa.
Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Baharu esok untuk permohonan tahanan reman.








