Jakim nafi Ham & Cheese Sandwich punyai Sijil Halal | The Reporter

Jakim nafi Ham & Cheese Sandwich punyai Sijil Halal

sijil halal Ham dan Cheese Sandwich
Ibu pejabat Jakim di Putrajaya | Foto: Archify

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan bahawa bahan mentah yang digunakan dalam produk Ham dan Cheese Sandwich yang dikeluarkan oleh syarikat Shake And Bake Cafe mempunyai sijil halal.

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, menjelaskan hasil pemeriksaan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada 10 Januari lalu mendapati produk tersebut tidak memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

“Selain itu, syarikat yang menghasilkan produk tersebut juga bukan pemegang SPHM. Hasil siasatan ini telah membawa kepada tindakan undang-undang di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730) serta Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011,” katanya memetik laporan Harian Metro, Rabu, 15 Januari 2025.

Beliau turut menegaskan penggunaan sijil halal pembekal tidak mencukupi untuk melayakkan sesuatu produk diperakui halal.

“Produk hanya boleh diperakui halal jika memenuhi standard dan prosedur pensijilan halal Malaysia, yang melibatkan aspek pengendalian, penyediaan, dan pemprosesan secara menyeluruh,” tambahnya.

Terdahulu, Shake And Bake Café Sdn Bhd dalam kenyataan mereka menyatakan bahawa bahan mentah seperti roti, keju, dan kepingan ayam yang digunakan dalam sandwic tersebut memiliki sijil halal sah. Syarikat itu turut berkongsi salinan sijil halal pembekal yang dikeluarkan oleh Jakim bagi kepingan ayam dan keju yang diimport dari Austria.

Related Posts