Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak berjaya mengutip RM2.368 juta melalui bidaan nombor plat siri “ANU” yang dijalankan selama lima hari.
Pengarahnya, Mohammad Yusoff Abustan, berkata bidaan itu dilakukan menerusi sistem JPJeBID bermula 19 hingga 23 Disember lalu seperti diumumkan melalui notis awam.
“Dalam tempoh lima hari tersebut, seramai 1,768 pembida menyertai daripada 1.99 juta pengguna berdaftar di seluruh negara.
“Bidaan tertinggi ialah sebanyak RM269,000 untuk nombor plat ‘ANU 1’,” katanya memetik laporan dari Bernama.
Tambah beliau, nombor pendaftaran yang tidak dibida akan ditawarkan kepada orang awam dengan harga minimum yang telah ditetapkan.
Siri AMG kekal rekod tertinggi
Mohammad Yusoff turut memaklumkan siri nombor plat “AMG” yang dikhususkan untuk peminat Mercedes-Benz AMG kekal menjadi siri dengan kutipan tertinggi di JPJ Perak.
“Sebelum ini, siri ‘AMG’ mencatat jumlah kutipan lebih RM6 juta dan kekal sebagai siri nombor plat paling laris,” jelasnya.








