Sambutan hari lahir seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun bertukar tragedi apabila kedua ibu bapanya maut ditembak oleh seorang pelanggan yang didakwa berada dalam keadaan mabuk di sebuah restoran di daerah Hat Yai.
Kejadian berlaku sekitar jam 10 malam Ahad di restoran Khrua Paowana di Jalan Nuan Kaew Uthit. Menurut polis, suspek dikenali sebagai Akarapon Pamchamnong, 50, seorang sukarelawan pertahanan di daerah Hat Yai.
Difahamkan, suspek datang bersendirian ke restoran itu untuk minum alkohol. Tidak beberapa lama kemudian, suspek keluar sebentar untuk merokok di tepi jalan. Ketika itu, seorang pelayan restoran yang menyangka suspek telah selesai minum, membersihkan meja tersebut. Tindakan itu menyebabkan suspek berang, lalu bertengkar dengan pelayan dan pemilik restoran sebelum beredar.
Tidak lama kemudian, suspek kembali ke restoran, menyambung pertengkaran dan mengeluarkan pistol sebelum melepaskan beberapa das tembakan.
Tembakan tersebut mengorbankan dua pelanggan, iaitu Sitthipong Siriphan, 48, dan isterinya, Orachon Ieankham, 45, yang kedua-duanya terkena tembakan di kepala. Pasangan itu membawa anak-anak mereka ke restoran untuk meraikan ulang tahun kelahiran anak lelaki mereka.
Dalam kejadian itu, anak lelaki mereka tidak mengalami kecederaan, namun adik perempuannya cedera di bahagian kepala.
Selain itu, dua lagi individu turut cedera. Pemilik restoran, Paowana Uttha, 46, terkena tembakan di kepala, manakala seorang lagi pelanggan, Suriya Supradit, 42, cedera di lengan kanan akibat tembakan.
Selepas kejadian, suspek menyerah diri kepada pihak polis. Polis turut menemui lapan kelongsong peluru 9mm di tempat kejadian.
Tragedi ini mencetuskan kesedihan dan kecaman dalam kalangan masyarakat terhadap tindakan tidak bertanggungjawab suspek. Kes sedang disiasat lanjut oleh pihak berkuasa.
Sumber: Bangkok Post








