Kakitangan awam Sarawak akan menerima bantuan khas kewangan (BKK) sebanyak dua bulan gaji, berdasarkan gaji pokok November 2024. Pembayaran dijadualkan akhir bulan depan, menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg.
Dalam sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak semalam, beliau berkata, kerajaan negeri turut menghargai kakitangan awam Persekutuan yang berkhidmat di Sarawak dengan pemberian BKK RM700 secara one-off pada suku pertama 2025.
“Tahun 2024 menyaksikan kejayaan Sarawak dalam pelbagai bidang hasil sumbangan semua pihak, termasuk kakitangan awam Sarawak dan Persekutuan. Jumlah keseluruhan implikasi kewangan bagi BKK ini dianggarkan RM190 juta,” katanya.
Elaun Khas Bulanan Bermula Januari 2025
Kerajaan Sarawak juga akan memperkenalkan elaun khas bulanan bermula Januari 2025, selaras Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan.
- Gred 1 hingga 4: RM400
- Gred 5 hingga 8: RM500
- Gred 9 hingga 15: RM600
- Gred Pengurusan Tertinggi: RM700
Bantuan Wang Saku Pelajar Sarawak
Dalam ucapan sama, Abang Johari turut mengumumkan bantuan wang saku RM1,200 kepada semua penuntut Sarawak di institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia, tanpa mengira pendapatan keluarga.
“Saya mendengar kebimbangan mengenai kriteria kelayakan. Oleh itu, semua penuntut layak menerima bantuan ini secara one-off,” jelasnya.
Sumber: Harian Metro








