Seorang wanita berkongsikan detik cemas apabila kereta yang diparkir di rumahnya dilarikan oleh perompak, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 3.50 pagi semalam di kediaman mereka, Meru, Ipoh.
Menurut mangsa, Wafa Izham, perompak terbabit mengambil masa kira-kira 15 minit untuk melarikan kenderaannya yang baru dibeli beberapa bulan lalu.
Wafa dan keluarganya cuba menjerit dan mengaktifkan bunyi penggera kereta yang lain bagi menakutkan penjenayah itu, malangnya usaha mereka tidak berjaya.
“Kejadian di Meru Ipoh pada jam 3.50 pagi. Kereta kami dicuri dengan mudah. Gate arm dibuka, unlocked kereta guna alat remote mereka.
“Perompak ini tak takut langsung walaupun kami dah bunyikan alarm kereta lain, menjerit. Kami jerit ke apa ke, dia memang buat dek.
“Kami tak berani keluar, takut perompak ada geng tunggu di luar atau ada senjata,” katanya yang sudah lapan tahun menetap di kawasan tersebut dan ini kali pertama berlaku kejadian yang tidak diingini.
Sementara itu di ruangan komen, ramai yang meminta mangsa mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan pada kenderaan dan juga menyimpan kunci terutamanya (keyless) ke tempat yang sukar untuk dikesan atau dicapai oleh penjenayah.








