Bersempena minggu cuti sekolah yang lalu, ramai rakyat Malaysia memilih destinasi percutian di Hatyai, Thailand. Media melaporkan, aliran wang yang dibelanjakan oleh rakyat Malaysi di negara jiran lebih RM100 juta ke atas.
Tinjauan mendapati, makanan yang sedap dan harganya yang murah menjadi faktor utama mereka memilih untuk bercuti di Hatyai. Namun, timbul persoalan adakah mereka menyelidik terlebih dahulu makanan tersebut halal atau sebaliknya?
Jumaat lalu, seorang ejen hartanah, Ilham Hamdani, berkongsi pengalamannya bercuti di Hatyai dan meminta orang ramai berhati-hati apabila membeli makanan yang dijual oleh peniaga tempatan.
“Benda ini hampir terjadi kepada saya dan kejadian ini berlaku pada Disember 2023, di Central Festival Mall, Hatyai. Semasa itu, isteri saya jenis yang akan bertanya kepada peniaga terlebih dahulu sama ada makanan yang dijual itu halal atau tidak.
“Nak dijadikan cerita di Central Festival Mall ini, di tingkat bawah memang banyak kedai makan dan pada hari yang saya pergi itu, yang saya ingat lebih daripada separuh atau 70 peratus pengunjungnya adalah orang Malaysia.
“Pergilah dekat seorang pekerja perempuan Islam dan bertanya, “Dik, yang ini halal tak?”. Yang mengejutkan kami, dia beritahu, “Kak, ini tak halal kak”. Tak halal? Kami ingatkan halal sebab dia bertudung litup cantik.
“Kami tanya kedai yang lain? Dia jawab, “Yang lain itu saya tak tahu. Akak kena periksa dengan mereka (peniaga) dulu,” katanya.
Justeru, Ilham menasihatkan orang ramai yang akan pergi bercuti di destinasi itu berhati-hati dan tidak terus percaya makanan yang dijual itu halal hanya kerana melihat pekerja memakai tudung.
“Saya rasa ini strategi mereka meletakkan 100 peratus pekerja perempuan Thailand yang saya rasa mereka Islam kerana memakai tudung, untuk menarik pelancong dari Malaysia berkunjung di sana.
“Kita tengok mereka bertudung, kita terus menyangka makanan dijual itu halal, sebenarnya tidak semestinya halal. Berhati-hatilah, mujur perkara ini tidak berlaku pada yang lain dan berlaku pada kami sekeluarga,” ujarnya.








