Seorang lelaki warga emas ditahan kerana didakwa memukul dan mengugut jirannya yang dikatakan membuat bunyi bising semasa memasak serta bau masakan masuk ke kediamannya dalam kejadian Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, suspek berusia 63 tahun ditahan di kediamannya pada jam 11.15 pagi untuk diambil keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dan ugutan jenayah.
Sementara itu satu sumber mendakwa, mangsa berusia 48 tahun mendakwa suspek telah menceroboh kediamannya pada jam 7.30 pagi, Khami slalu.
Mangsa berkata, suspek telah memukul adiknya menggunakan tangan atas alasan adiknya mmbuat bising semasa memasak dan bau masakan mencemari ruang udara rumah suspek.
Ketika cuba mempertahankan adiknya, mangsa telah dipukul oleh suspek sehingga mendatangkan kecederaan di kaki, manakala adiknya sakit di bahagian kepala.
Selain itu, suspek didakwa mengugut mahu mengambil parang untuk memotong dua beradik berkenaan.
Sumber: Sinar Harian (Norafidah Assan)








