Ganjaran tunai RM2 juta ditawarkan pemenang emas pertama | The Reporter

Ganjaran tunai RM2 juta ditawarkan pemenang emas pertama

Sumber Gambar: Myteammas

Ganjaran wang tunai RM2 juta akan ditawarkan kepada atlet negara yang berjaya membawa pulang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Paris 2024.

Tiga penaja daripada sektor korporat iaitu Yinson Holdings Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad dan juga MJ Health Screening Centre sedia menawarkan ganjaran berkenaan.

Menurut Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Yinson Holdings Berhad akan menyumbang sebanyak RM1 juta manakala Matrix Concepts Holdings Berhad dan juga MJ Health Screening Centre masing-masing memberikan sejumlah RM500,000.

“Justeru, jumlah keseluruhan ialah RM2 juta bakal diterima atlet yang memenangi pingat emas pertama Malaysia di Paris. Sekiranya lebih seorang atlet memenangi pingat emas, wang akan dibahagikan sama rata antara mereka,” menurut kenyataan itu.

Bakar semangat

Dalam pada itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata tajaan berkenaan akan membakar semangat kesemua atlet bertanding untuk mencapai sasaran emas pertama Malaysia di temasya berprestij dunia itu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada semua penaja atas tajaan yang diberikan dan kepercayaan bahawa atlet Malaysia mampu untuk membawa pulang emas pertama buat negara. Saya yakin semua atlet akan berusaha memberikan yang terbaik di bumi Paris,” katanya.

Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin menyifatkan insentif berkenaan memberi inspirasi untuk mendapatkan pingat emas pertama negara.

Terdahulu, Top Residency memberikan sumbangan RM1 juta dalam nilai hartanah iaitu pangsapuri perkhidmatan mewah manakala Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Berhad Lim Keng Heng menawarkan RM1 juta kepada pemain badminton negara Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie di bawah program Bakat Badminton SS.

Pengeluar kereta dari China, Chery Malaysia turut tampil dengan hadiah kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik.

Sumber: Bernama

Related Posts