Seperti diangkat hero dalam masyarakat, ramai yang mengecam tindakan produksi yang menjemput individu yang terlibat dalam aktiviti persundalan.
Walaupun dikatakan motif podcast yang dibuat sebagai satu pengajaran atau kesedaran, namun masyarakat dan pelbagai pihak memandang perkara ini sebagai satu perkara serius yang perlu dielakkan.

Susulan itu, Mufti Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan mengatakan undangan pelaku terbabit akan mengundang kesan yang buruk kepada masyarakat.
“Secara zahirnya, penyiaran segmen sedemikian bermotifkan kebaikan seakan-akan bertepatan dengan konsep amar makruf nahi mungkar dalam Islam. Namun pada masa yang sama, ia sebenarnya secara tidak langsung turut meninggalkan kesan-kesan negatif kepada masyarakat.
“Lebih-lebih lagi, apabila individu yang terpalit dengan jenayah sivil mahupun syariah telah diangkat secara terbuka di khalayak sehingga menampakkan bahawa seolah-olah kesalahan mereka merupakan suatu perkara yang normal dan boleh diterima. Walhal, kesalahan yang dilakukan turut termasuk dalam kategori dosa besar iaitu berzina dan persundalan,”tulisnya.
Diharamkan oleh syarak
Dalam kenyataan tersebut turut menjelaskan bahawa perbuatan tersebut diharamkan oleh syarak.
“Penggunaan podcast sebagai platform untuk membuka aib peribadi seseorang adalah termasuk dalam perbuatan menzahir kemaksiatan dan perbuatan ini diharamkan oleh syarak. Apatah lagi menjadikan penzina sebagai tetamu undangan untuk menceritakan perbuatan maksiatnya tanpa rasa malu dan berdosa.
“Walaupun kaedah ini berpotensi memberikan keuntungan dari sudut material, namun pada masa yang sama ia turut meninggalkan kesan yang buruk kepada masyarakat dengan mempromosikan penzina secara tidak langsung. Hal ini kerana, golongan pengguna media sosial terdiri daripada latar belakang yang berbeza.
“Bahkan, sebahagian daripada mereka tidak berupaya memahami mesej secara tersirat malah tidak mampu untuk menapis dan menyaring setiap maklumat yang disampaikan. Sejajar dengan itu, hal ini boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan masyarakat seterusnya mendorong kepada perbuatan maksiat.
Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan








