Pelakon Nadia Brian, 32, baru-baru ini meluahkan keinginan mempunyai pasangan yang mempunyai pengetahuan agama yang kukuh untuk membimbingnya.
Walaupun hidup solo selepas tiga tahun bercerai dengan bekas suaminya, Muizz Nasruddin, pada April 2020, hatinya tidak pernah tertutup untuk bercinta. Malah dia juga seperti wanita yang lain, mahu hidup berkeluarga.
Bagi Nadia, paras rupa bukan menjadi keutamaan. Tetapi pengetahuan agama seseorang lelaki itu yang dititik beratkan agar dapat membimbingnya ke arah yang lebih baik.
“Saya tak pernah tutup pintu hati untuk bercinta, termasuk berumah tangga semula walaupun pernah gagal sebelum ini. Sudah tentulah saya mahu berkahwin dan ada pasangan seperti wanita lain.
“Cuma buat masa ini saya masih belum bertemu calonnya. Kalau ada jodoh, Insya-Allah pasti ada.
“Saya tidak memilih dari segi rupa. Tetapi untuk kali ini, saya mencari pasangan yang boleh membimbing saya ke arah yang lebih baik dan juga menyokong antara satu sama lain dalam semua perkara.
“Saya tidak meletakkan kriteria yang tinggi untuk jodoh kedua ini. Cukuplah sekiranya lelaki itu mampu membimbing dan mempunyai pengetahuan agama yang kukuh. Doakan saya,” katanya memetik laporan daripada Harian Metro, 6 Ogos 2023.
Keinginan tak seiring dengan penampilan seksi – Netizen
Bagaimanapun, kenyataannya itu dikecam oleh netizen kerana keinginannya itu tidak masuk akal dan tidak seiring dengan penampilannya yang seksi. Malah mereka mendakwa, wanita seperti Nadia tidak sesuai dengan lelaki yang kuat agama.
Menyedari kecaman itu, Nadia menjelaskan dia tidak berkecil hati dan tetap meminta orang ramai mendoakan yang baik-baik untuknya.
Dalam masa sama Nadia berkata, penampilannya tidaklah keterlaluan seperti yang didakwa. Dan orang ramai juga tidak tahu bahawa dirinya masih ada niat untuk berubah ke arah kebaikan.
“Bila ada yang kata saya tidak sesuai dengan orang beragama, saya minta doakan yang baik-baik. Penampilan saya bukannya keterlaluan. Kalau keterlaluan pun, saya minta maaf.
“Saya masih menjaga batas, tidak mengganggu sesiapa dan tahu menjaga diri. Malah saya ada niat nak berubah menjadi lebih baik.
“Saya ada mendekati agama untuk diri saya sendiri seperti mengaji. Tetapi saya tak kongsikan kepada orang ramai. Benda baik ini saya rasa bersifat peribadi,” ujarnya.
Sumber: Harian Metro, Kosmo! Online








