'Tak boleh, kamu pergi!' - Presiden Gerakan dihalau sertai Ceramah Mega PN Best? | The Reporter

‘Tak boleh, kamu pergi!’ – Presiden Gerakan dihalau sertai Ceramah Mega PN Best?

Sumber gambar: MalaysiaKini

Baru-baru ini kecoh di TikTok, video menunjukkan Presiden Gerakan, Dominic Lau, tidak dibenarkan menyertai program Ceramah Mega PN Best di Tasek Gelugor, Pulau Pinang, kelmarin.

Difahamkan, Lau yang hadir tanpa undangan itu mahu bertemu dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang. Namun, kehadirannya tidak disenangi dan tidak diberi layanan setaraf.

Insiden itu ketara apabila Naib Presiden PAS, Idris Ahmad hendak mengiringi Lau ke atas pentas, tetapi dihalang oleh Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim yang memberitahu, “Yang tidak diundang, sila tunggu sini”.

Ada yang cuba membantah, tetapi Iszuree menjawab, “…tak boleh, kamu pergi!”. Lau hanya mampu memandang dan senyum.

Menurut laporan MalaysiaKini, Iszuree adalah individu yang disebut-sebut sebagai calon di DUN Bayan Lepas, iaitu kerusi yang bakal ditandingi oleh Lau.

Keputusan Lau bertanding di kerusi majoriti Melayu itu menimbulkan rasa tidak puas hati penyokong PAS Pulau Pinang. Malah pada hari sebelum penamaan calon, ahli PAS Bayan Lepas mengugut untuk memboikotnya.

Tidak beberapa lama kemudian, Hadi tiba di program tersebut dan pembantu Lau iaitu Wendy Subramaniam meminta ahli Pemuda PAS yang mengiringi Hadi untuk memberi laluan Lau berjumpa dengan Hadi.

Tetapi ahli Pemuda PAS itu menjawab, “Jangan bagi” dan Hadi terus diiringi ke pentas dan meninggalkan Lau yang kemudian beredar meninggalkan program tersebut.

Sementara itu, Lau yang disoal mengenai kejadian itu menafikan dia dihalau. Sebaliknya kedatangannya ke tapak program itu adalah untuk mengadakan perbincangan pendek mengenai strategik PRN.

Namun selepas insiden itu, Lau ada bercakap dengan Hadi melalui panggilan telefon dan berjaya menyelesaikan masalah yang timbul.

Sumber: MalaysiaKini

Related Posts