Hasrat ibu sediakan hidangan hari lahir anak tidak kesampaian, maut dalam kemalangan | The Reporter

Hasrat ibu sediakan hidangan hari lahir anak tidak kesampaian, maut dalam kemalangan

Anak Allahyarhamah Noryshah Umar bersandar pada sebatang pokok sambil ditenangkan dua lelaki.
Gambar disunting menggunakan AI daripada tangkapan layar video tular di Facebook yang memaparkan anak Allahyarhamah ditenangkan dua lelaki.

Hasrat seorang ibu untuk menyediakan hidangan istimewa sempena sambutan hari lahir anaknya tidak kesampaian apabila dia maut dalam kemalangan di Jalan Kampung Tebuk Tengah, Simpang Empat, Perlis, petang Isnin.

Mangsa, Noryshah Umar, 47, yang bekerja di kantin Institut Latihan Perindustrian (ILP), difahamkan dalam perjalanan pulang dari tempat kerja selepas singgah membeli bahan masakan untuk sambutan hari istimewa anaknya.

Namun, perjalanan pulang itu berakhir dengan tragedi apabila motosikal yang ditunggang Allahyarhamah terbabas sebelum merempuh sebatang pokok.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, siasatan awal mendapati motosikal mangsa dipercayai terbabas sendiri ke sebelah kiri jalan sebelum melanggar pokok berkenaan.

Akibat rempuhan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Lebih meruntun hati, sebuah video yang tular di media sosial memaparkan anak Allahyarhamah bersandar pada sebatang pokok sambil menangis sebelum ditenangkan oleh dua lelaki.

Turut tular tangkap layar perbualan WhatsApp Allahyarhamah yang bertanyakan tentang kek sempena sambutan hari lahir anaknya.

Sumber: Sinar Harian, Adam Wong Jr- INFO-INFO SEMASA,Kemalangan,Bencana,Jenayah di Malaysia dan Global

Related Posts