Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa kerajaan Türkiye secara rasmi belum bersedia mempertimbangkan permohonan Malaysia berhubung cadangan penempatan pelarian Rohingya di negara berkenaan.
Anwar berkata, beliau sendiri menerima pengesahan daripada pihak Türkiye dua hari lalu, dengan alasan negara itu kini menanggung lebih empat juta pelarian dari negara-negara Teluk, negara Arab serta beberapa negara jiran.
“Saya sendiri mendapat pengesahan daripada pihak Türkiye dua hari yang lalu bahawa mereka belum bersedia menimbangkan. Itu bagi pihak Türkiye.
“Tapi pihak Malaysia, seperti yang disuarakan oleh TPM (Timbalan Perdana Menteri), memohon supaya dipertimbangkan untuk menyelesaikan sebahagian daripada masalah kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) di Dewan Rakyat hari ini.
Usaha Malaysia cari negara ketiga
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan bahawa usaha yang dikemukakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu selaras dengan pendirian Malaysia untuk mencari negara ketiga bagi penempatan pelarian, termasuk dalam kalangan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menurutnya, Ahmad Zahid berpandangan bahawa Türkiye mungkin mempertimbangkan permohonan tersebut berdasarkan tradisi negara berkenaan yang menerima dan membantu ramai pelarian dari negara Islam.
“Tapi dalam konteks ini, pihak Türkiye telah menyatakan dengan tegas kerana mereka sudah banyak tanggungan yang ada. Mereka belum bersedia,” katanya.
Terdahulu, Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook mengumumkan bahawa Türkiye bersetuju menerima 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia melalui program latihan kemahiran berstruktur.
Bagaimanapun, hantaran berkenaan kemudiannya dipadam dan pihak berkuasa Türkiye tampil menafikan dakwaan mengenai persetujuan tersebut.








