25 wanita warga asing ditahan dalam Ops Gegar di Bukit Bintang | The Reporter

25 wanita warga asing ditahan dalam Ops Gegar di Bukit Bintang

Operasi Ops Gegar oleh Jabatan Imigresen Malaysia di Jalan Changkat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Operasi Ops Gegar oleh Jabatan Imigresen Malaysia di Jalan Changkat, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Gambar: FB JIM

Seramai 25 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam Operasi Penguatkuasaan (Ops Gegar) yang dijalankan di sekitar Jalan Changkat, Bukit Bintang, awal pagi Selasa.

Operasi yang bermula kira-kira jam 1.20 pagi itu menyasarkan wanita warga asing yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang imigresen.

Menurut kenyataan JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, operasi bersepadu berkenaan melibatkan 35 pegawai imigresen pelbagai pangkat dengan kerjasama 16 anggota Pasukan Taktikal Khas (PASTAK).

Hasil pemeriksaan terhadap 25 individu mendapati kesemua warga asing terbabit melakukan pelbagai kesalahan imigresen sebelum ditahan untuk tindakan lanjut.

Berdasarkan pecahan yang dinyatakan, tahanan terdiri daripada warga benua Afrika, Myanmar dan Kemboja.

Antara kesalahan yang dikenal pasti termasuk menyalahgunakan pas lawatan sosial, melanggar syarat pas serta tinggal di negara ini melebihi tempoh yang dibenarkan.

Kesemua tahanan dibawa ke Depot Imigresen Kuala Lumpur bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Dalam pada itu, JIM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menegaskan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu, pemilik premis atau majikan yang didapati melindungi mahupun menggaji pendatang asing tanpa izin.

Jabatan itu turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang imigresen melalui saluran rasmi bagi membantu usaha penguatkuasaan.

Related Posts