Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyeru penyokong parti itu supaya memberikan undi kepada calon Barisan Nasional (BN) di kawasan yang ditandingi gabungan berkenaan, manakala penyokong BN pula diminta menyokong calon Perikatan Nasional (PN) di kawasan yang ditandingi gabungan tersebut.
Beliau berkata, kerjasama politik perlu dibina bagi mengelakkan perpecahan dan pertembungan sesama sendiri, sekali gus memastikan perpaduan masyarakat terus terpelihara.
Menurutnya, tanggungjawab memilih pemimpin bukan sekadar hak sebagai rakyat, sebaliknya merupakan amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT.
“Tanggungjawab memilih pemimpin bukan sekadar hak sebagai rakyat, bahkan merupakan amanah yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT,” katanya menerusi satu kenyataan.
Abdul Hadi menjelaskan, setiap manusia mempunyai tiga tanggungjawab utama, iaitu mengabdikan diri kepada Allah, melaksanakan tugas sebagai khalifah di muka bumi serta menunaikan amanah dengan penuh keadilan.
Katanya, dalam konteks kehidupan bernegara, pemilihan kepimpinan merupakan sebahagian daripada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya.
Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan masyarakat dan negara bergantung kepada perpaduan, sebagaimana dibuktikan melalui sejarah Tanah Melayu apabila masyarakat daripada pelbagai latar belakang bersatu menghadapi penjajahan.
Jelasnya, perbezaan kaum dan pegangan tidak seharusnya menjadi penghalang kepada masyarakat untuk hidup bersama, saling menghormati serta bekerjasama demi kepentingan negara.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan membina kerjasama politik bagi mengelakkan perpecahan dalam kalangan masyarakat.
“Justeru itu, saya menyeru agar para penyokong PAS memberikan undi kepada calon BN di kawasan yang ditandingi BN, dan penyokong BN mengundi calon PN di kawasan yang ditandingi PN,” katanya.








