Caltex, Petron sedia bayar pampasan ihsan kepada pengguna terjejas isu petrol RON95 | The Reporter

Caltex, Petron sedia bayar pampasan ihsan kepada pengguna terjejas isu petrol RON95

Menteri KPDN Datuk Armizan Mohd Ali menjawab soalan berhubung isu pencemaran petrol RON95 dan pembayaran ihsan Caltex serta Petron di Dewan Rakyat.
Gambar hiasan

Syarikat minyak Caltex dan Petron telah merangka program bantuan melibatkan pembayaran secara ihsan kepada pengguna yang mengalami kerosakan kenderaan susulan dakwaan pencemaran bahan api petrol RON95 di beberapa negeri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, pembayaran secara ihsan itu akan diberikan kepada pelanggan yang mengemukakan aduan lengkap berserta dokumen sokongan yang sah, berdasarkan kriteria ditetapkan kedua-dua syarikat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman, di Dewan Rakyat berhubung keputusan analisis Jabatan Kimia Malaysia terhadap sampel petrol RON95, tindakan kerajaan memulihkan keyakinan pengguna serta penyediaan pampasan kepada mereka yang terjejas.

262 sampel diambil

Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerima aduan berkaitan dakwaan pencemaran petrol RON95 sejak 3 Oktober lalu sebelum menjalankan pemeriksaan di stesen minyak terlibat.

Sehingga 31 Oktober, sebanyak 262 sampel petrol RON95 telah diambil, membabitkan 259 sampel dari stesen minyak dan tiga sampel dari depo syarikat minyak.

Pemeriksaan itu melibatkan lapan jenama stesen minyak di lapan negeri serta tiga depo syarikat minyak, dengan semua sampel dihantar secara berperingkat kepada Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis.

Katanya, laporan awal bertarikh 29 Oktober membabitkan 43 sampel mendapati kandungan air dalam kesemua sampel petrol berkenaan adalah kurang daripada 0.05 peratus, iaitu di bawah had pengesanan minimum yang boleh dilaporkan.

Bagaimanapun, baki sampel masih menjalani proses analisis bagi mengesan kehadiran air dan bahan asing lain, manakala laporan penuh akan dikeluarkan selepas semua ujian selesai.

Dalam perkembangan sama, KPDN turut mengadakan sesi libat urus bersama Petron dan Chevron, pemilik jenama Caltex, pada 9 dan 21 Oktober bagi mengenal pasti punca dakwaan pencemaran bahan api tersebut.

Kedua-dua syarikat berkenaan juga telah menghantar sampel petrol RON95 dari stesen minyak yang menerima aduan ke makmal masing-masing, termasuk di luar negara, untuk ujian lanjut.

Siasatan terperinci

KPDN menegaskan bahawa walaupun isu berkenaan hanya melibatkan stesen minyak tertentu, siasatan terperinci akan diteruskan merangkumi keseluruhan rantaian bekalan.

Tindakan tegas berdasarkan undang-undang yang berkuat kuasa akan diambil sekiranya siasatan mendapati berlaku sebarang kesalahan.

Related Posts