'3km sampai dua jam' – Netizen rayu perhatian PMX isu banjir, kesesakan teruk | The Reporter

‘3km sampai dua jam’ – Netizen rayu perhatian PMX isu banjir, kesesakan teruk

Kesesakan lalu lintas teruk akibat banjir di sekitar Shah Alam, Selangor.
Kesesakan lalu lintas teruk akibat banjir di sekitar Shah Alam, Selangor. Gambar: Threads itsaqazthetic

Kejadian banjir dan kesesakan lalu lintas yang teruk di sekitar Taman Tun Dr Ismail (TTDI) Jaya, Seksyen 13, Bukit Jelutong serta kawasan berhampiran mencetuskan keluhan pengguna jalan raya apabila perjalanan pulang dari tempat kerja mengambil masa lebih lama daripada kebiasaan.

Situasi itu turut mendapat perhatian seorang pengguna media sosial yang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya campur tangan bagi mencari penyelesaian jangka panjang terhadap masalah berkenaan.

Menerusi hantaran di Threads, individu tersebut mendakwa masih ramai pengguna jalan raya terkandas dalam kesesakan sehingga lewat malam meskipun sudah selesai bekerja.

Menurutnya, terdapat pengguna yang terpaksa menghabiskan masa sehingga dua jam di jalan raya walaupun jarak perjalanan hanya sekitar tiga kilometer.

“Ada yang perjalanan cuma 3km, tetapi terpaksa menghabiskan masa sehingga 2 jam dalam kesesakan.

“Kesian mereka yang ada anak kecil menunggu di rumah atau perlu mengambil anak di taska,” katanya menerusi hantaran tersebut.

Individu berkenaan turut menyuarakan kebimbangan terhadap kesulitan yang terpaksa dihadapi ibu bapa, khususnya mereka yang perlu mengambil anak di pusat jagaan selepas waktu bekerja.

Sehubungan itu, dia berharap kerajaan memberikan perhatian serius terhadap masalah banjir dan kesesakan di kawasan terbabit serta mengambil langkah penyelesaian jangka panjang bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang.

Related Posts