Penyanyi rap, Caprice diarahkan membayar ganti rugi sebanyak RM220,000 kepada pendakwah bebas, Ebit Lew serta-merta selepas Mahkamah Sesyen pada Isnin menolak permohonannya untuk menangguhkan pembayaran berhubung kes saman fitnah.
Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 40, diperintah mendepositkan wang berkenaan ke dalam akaun peguam yang mewakili Ebit, selain membayar kos sebanyak RM2,000.
Keputusan tersebut menyusul selepas mahkamah pada 17 Ogos lalu memerintahkan Ariz membayar ganti rugi RM220,000 kepada Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 42, selepas didapati memfitnah pendakwah berkenaan.
Mahkamah sebelum ini turut mengarahkan Caprice membuat permohonan maaf dan memadamkan tujuh kenyataan yang diterbitkan bersama pempengaruh Indonesia, Mondy Tattoo dalam tempoh 48 jam.
Caprice juga dilarang mengeluarkan sebarang komen atau kenyataan berkaitan Ebit, manakala tuntutan balas yang dikemukakannya ditolak mahkamah atas alasan tidak berasas.
Penerbitan video September 2023
Kes saman itu berpunca daripada penerbitan sebuah video pada 15 September 2023 yang menampilkan Mondy sebagai tetamu jemputan menerusi saluran YouTube Caprice.
Ebit mendakwa kandungan video tersebut memberi gambaran bahawa dirinya melakukan gangguan seksual, mengambil kesempatan terhadap Mondy serta merupakan individu tidak bertanggungjawab dan penunggang agama sehingga mencetuskan pelbagai kecaman terhadapnya.
Sumber: Sinar Harian








