Pemuda MCA sedia bantu guaman empat lelaki didakwa bakar rumah Rohingya | The Reporter

Pemuda MCA sedia bantu guaman empat lelaki didakwa bakar rumah Rohingya

Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Lee Yee Yuan tawar bantuan guaman kepada empat tertuduh kes bakar rumah Rohingya di Kulai.
Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan Lee Yee Yuan tawar bantuan guaman kepada empat tertuduh kes bakar rumah Rohingya di Kulai.

Pemuda MCA menyatakan kesediaan untuk menyelaraskan bantuan guaman dan kewangan kepada empat lelaki yang didakwa membakar sebuah rumah diduduki warga Rohingya di Kulai, Johor, dua minggu lalu.

Naib Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Lee Yee Yuan berkata, bantuan berkenaan bagaimanapun tertakluk kepada persetujuan organisasi serta keperluan keempat-empat tertuduh yang kini berdepan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Johor Bahru.

Menurutnya, keempat-empat individu terbabit telah mengaku tidak bersalah dan berhak mendapat perbicaraan yang adil serta pembelaan sewajarnya mengikut prinsip kedaulatan undang-undang.

“Pemuda MCA percaya setiap rakyat di negara ini berhak mendapat pembelaan undang-undang.

“Selagi mahkamah belum memutuskan mereka bersalah, tidak ada pihak yang boleh mendahului mahkamah dengan menjatuhkan hukuman atau membuat penghakiman terhadap mereka,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Gesa kerajaan tangani isu PATI

Dalam pada itu, Yee Yuan turut menggesa kerajaan menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI), termasuk status dan penempatan pelarian Rohingya yang menurutnya sudah sekian lama menimbulkan kebimbangan masyarakat.

Beliau berkata, kerajaan perlu menyediakan dasar dan penyelesaian yang jelas bagi memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara terus terpelihara.

“Sampai bila kerajaan mahu membiarkan isu PATI berlarutan tanpa penyelesaian yang tuntas?

“Rakyat berhak menuntut kerajaan mengambil tindakan tegas bagi mempertahankan kedaulatan negara, keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memperketatkan kawalan sempadan, membanteras sindiket penyeludupan dan pemerdagangan manusia serta menjalankan semakan menyeluruh terhadap status warga asing di negara ini.

Selain itu, proses penghantaran pulang warga asing juga perlu dilaksanakan mengikut undang-undang dan kewajipan perlindungan antarabangsa yang berkaitan.

Bagaimanapun, Yee Yuan menegaskan bahawa sebarang ketidakpuasan hati terhadap isu PATI tidak boleh dijadikan alasan untuk mengambil tindakan sendiri sehingga melanggar undang-undang.

Katanya, usaha mempertahankan kedaulatan negara perlu dilaksanakan melalui penguatkuasaan undang-undang secara tegas dan adil, bukannya menerusi tindakan yang menyalahi peraturan.

Beliau turut menegaskan bahawa Pemuda MCA akan memastikan sebarang bantuan yang diselaraskan bertujuan menjamin hak keempat-empat tertuduh untuk mendapatkan pembelaan sewajarnya sepanjang proses perbicaraan.

“Keadilan mesti ditegakkan dan hak setiap rakyat Malaysia mesti dipelihara.

“Pada masa yang sama, kerajaan tidak boleh terus berdolak-dalik, sebaliknya mesti tampil dengan penyelesaian yang konkrit, menyeluruh dan berkesan terhadap isu PATI demi keselamatan serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Related Posts