Premis makanan tular kotor di Kulim diarah tutup, najis tikus ditemukan | The Reporter

Premis makanan tular kotor di Kulim diarah tutup, najis tikus ditemukan

remis makanan di Kulim diarah tutup oleh JKN Kedah selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan tidak memuaskan.
Premis makanan di Kulim diarah tutup oleh JKN Kedah selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihan tidak memuaskan.

Sebuah premis makanan yang menjalankan perniagaan menerusi platform penghantaran makanan dalam talian di daerah ini diarah tutup selepas pemeriksaan mendapati tahap kebersihannya berada pada tahap tidak memuaskan.

Jabatan Kesihatan Negeri Kedah (JKN Kedah) memaklumkan, tindakan itu diambil susulan aduan tular di media sosial mengenai keadaan kebersihan premis berkenaan yang didakwa didedahkan oleh seorang penghantar makanan (rider).

Menurut jabatan itu, pemeriksaan yang dijalankan pada 26 Oktober lalu mendapati aduan berkenaan berasas apabila premis terbabit hanya memperoleh markah penilaian kebersihan sebanyak 37.5 peratus.

“Pemeriksaan mendapati beberapa ketidakpatuhan serius termasuk keadaan lantai, dinding dan peralatan yang kotor, kehadiran lalat serta penemuan najis tikus di dalam premis,” menurut kenyataan itu.

Susulan penemuan berkenaan, JKN Kedah mengarahkan premis terbabit ditutup di bawah Seksyen 11, Akta Makanan 1983, berkuat kuasa 26 Oktober 2026.

Selain itu, satu notis kompaun turut dikeluarkan terhadap pengusaha premis di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.

JKN Kedah menegaskan bahawa pihaknya memandang serius sebarang pelanggaran aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang boleh menjejaskan kesihatan pengguna.

Sehubungan itu, semua pengusaha makanan diingatkan supaya memastikan premis sentiasa bersih, melaksanakan kawalan makhluk perosak serta menguruskan sisa makanan dengan sempurna.

Dalam masa sama, jabatan itu turut menggesa platform penghantaran makanan dalam talian memperkukuh mekanisme kawalan dalaman bagi memastikan premis yang disenaraikan mematuhi keperluan perundangan dan syarat pelesenan.

Platform berkenaan juga disaran mempertimbangkan tindakan penyahsenaraian terhadap premis yang didapati gagal mematuhi aspek keselamatan dan kebersihan makanan.

Orang ramai turut dinasihatkan supaya memilih premis makanan yang bersih dan selamat serta menyalurkan sebarang aduan melalui saluran rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Related Posts